29 December 2013

Dilemma Mahasiswa

Baru-baru ini, kecoh di media mengenai gerakan TURUN yang di ketuai oleh mahasiswa, Nor Azan Safar. Kemudian keluarlah beberapa mahasiswa yang mempertahankan TURUN, seperti Nor Azhar Baharum Exco Perhubungan Awam, majlis Perwakilan Pelajar UIAM. Kemudian, Persatuan Pelajar UM pula mengeluarkan resolusi kepada kerajaan berkenaan penurunan kadar GST kepada 5% daripada 6% selepas persidangan meja bulat bersama Pengarah Cukai Dalaman Pengarah Kastam Diraja, Bahagian Analisa Cukai Kementerian Malaysia dan Persatuan Belia Malaysia. Bukan itu sahaja usaha-usaha Mahasiswa yang cuba untuk melindungi hak rakyat, banyak lagi usaha-usaha yang lebih kepada bersifat dalaman. Saya bukan hendak menulis berkenaan TURUN, atau GST, atau mengenai kehebatan kepimpinan Datuk Seri Najib. Apa yang saya ingin kisahkan adalah berkenaan kuasa mahasiswa dalam memperjuangkan hak rakyat.

Dalam kabut semakin ramai Mahasiswa yang tampil kehadapan bersuara demi rakyat, masih lagi ramai yang kebelakang, kecut, sambil membaca berita portal. Sekurang-kurangnya ada juga yang membaca berita dan mengambil tahu kisah-kisah semasa, bagaimana pula dengan yang hanya tahu memegang buku kuliah sahaja? Bukanlah saya ingin mengutuk mereka yang hanya fikir untuk mengejar 'Kelas Pertama', tetapi haruslah diingat bahawa darjah kelas pertama tidak menjanjikan pemikiran kelas pertama. Sesungguhnya seorang Mahasiswa yang perihatin akan berada dalam dilemma antara tanggungjawab sosial atau tanggungjawab peribadi.

Mari kita renung sebentar Falsafah Pendidikan Negara. Bacalah, fikirlah dan hayati:
"Pendidikan di Malaysia adalah satu usaha berterusan ke arah memperkembangankan lagi potensi individu secara menyeluruh dan bersepadu untuk mewujudkan insan yang seimbang dan harmonis dari segi intelek, rohani, emosi, dan jasmani berdasarkan kepada kepercayaan dan kepatuhan kepada Tuhan. Usaha ini adalah bagi melahirkan rakyat Malaysia yang berilmu, bertanggungjawab dan berkeupayaan mencapai kesejahteraan diri serta memberi sumbangan terhadap keharmonian dan kemakmuran masyarakat dan negara."

Pendidikan bukan sahaja berkenaan memenuhi kehendak intelek peribadi semata-mata. Jika itu sahaja yang dikejar oleh mahasiswa, maka gagallah dia dalam mengejar ilmu. Mahasiswa seharusnya diingat bahawa mereka dipandang tinggi disisi masyarakat. Kerana mahasiswa merupakan generasi seterusnya yang akan membangunkan Malaysia, menjadi tali penghubung kepada kelangsungan Malaysia kini dan masa akan datang. Jadi, jika isu-isu semasa negara tidak diendahkan, adakah masyarakat berani untuk meletakkan tanggungjawab membangunkan negara ke atas bahu Mahasiswa?

Siapakah lagi yang berani memperjuangkan masalah Masyarakat? Adakah 100% kita perlu harapkan kepada ahli politik semata-mata? Janganlah mudah percaya dengan semua laporan menyedapkan hati dan memaniskan mulut, Malaysia semakin maju? Pendidikan negara semakin berkembang? Semakin ramai pelabur masuk ke Malaysia? Taraf pendapatan negara semakin meningkat? Jangan jadi bodoh. Jangan jadi sombong! Bangunlah, berjalanlah di lorong-lorong, di kampung-kampung, di sekolah-sekolah, bukalah mata, masih ramai lagi rakyat kita yang mundur, masih ramai lagi rakyat kita yang makan sambil air mata berlinangan, masih ramai lagi yang tidak bersekolah. Siapakah lagi yang rapat dengan masyarakat kalau bukan Mahasiswa? Siapakah lagi yang kenal masyarakat kalau bukan Mahasiswa?

Mahasiswa, tidak perlu tanya siapa yang berjuang demi rakyat,
tanyalah diri sendiri, apakah sumbangan anda untuk rakyat.

16 December 2013

Malaysia di Era AEC

Hanya tinggal lagi 15 hari untuk kita melangkah ke tahun baharu, 2014. Satu lagi tahun yang dikatakan semakin mencabar terutamanya bagi masyarakat Malaysia yang sedang berusaha untuk memahami segala dasar penstrukturan subsidi negara. Dalam dendangan orang-orang parlimen dengan pelbagai isu, ramai yang masih tidak mengetahui berkaitan ASEAN Economic Community (AEC).

ASEAN Economic Community dikatakan merupakan salah satu hala tuju ASEAN. Melalui AEC, satu kawasan integrasi ekonomi serantau akan diwujudkan diantara negara-negara ahli AEC. Kemunculan AEC menunjukkan ASEAN akan semakin menjadi seperti EU (Kesatuan Eropah). Dahulu Kesatuan Ekonomi Eropah (EEC), kemudian mengintegrasi menjadi Komuniti Eropah (EC), dan seterusnya berintegrasi dengan lebih erat lagi sebagai EU. Adakah ASEAN menuju ke arah AU (Asean Union)?

Berdasarkan pelan tindakan yang dipersetujui, menjelang tahun 2015, AEC akan menjadi tunjang dalam integrasi ekonomi serantau. Berikut merupakan kunci jangkaan AEC:
1. Pasaran tunggal dan tapak pengeluaran.
2. Wilayah ekonomi yang kompetitif.
3. Rantau pembangunan ekonomi yang saksama,
4. Rantau bersepadu sepenuhnya dalam ekonomi global.

Dikatakan setelah AEC terimplementasi secara sepenuhnya, akan wujud sebuah rantau yang bebas pergerakan keluar masuk barangan dan servis, tenaga buruh, dan aliran modal yang lebih bebas diantara negara-negara ahli. Jadi, dalam kata mudah AEC akan mewujudkan sebuah rantau dengan kuasa ekonomi yang besar, berdasarkan bilangan kuasa pengguna yang tinggi dan modal yang lebih besar berdasarkan aliran modal yang bebas. 

Ini adalah regionalism. Regionalism adalah satu idea untuk menyatukan beberapa negara serantau bagi mewujudkan satu kerjasama berdasarkan kepentingan yang sama, contohnya kerjasama ekonomi. Idea seumpama ini dikatakan berupaya mengekang gelombang globalisasi iaitu tidak membuka sempadan ekonomi sesebuah negara kepada dunia lepas, dan dapat membentuk kerjasama erat di antara negara anggota dalam menghadapi ancaman ekonomi global. Tetapi tidak boleh dinafikan regionalism mendedahkan ekonomi negara-negara anggota kepada persaingan yang hebat di antara mereka sendiri. Inilah yang perlu dikaji sedalam-dalamnya oleh negara, dan rakyat perlu bersiap sedia dalam menghadai era AEC terutamanya mereka yang terlibat dalam sektor swasta.

Ya, dengan penyertaan Malaysia dalam AEC, akan ada sektor dalam negara yang bakal mengaut untung besar, tetapi ada juga yang bakal tersungkur. Sektor korporat, pemodal asing (FDI), dan syarikat multi-nasional (MNE/MNC) dalam Malaysia mungkin meraih keuntungan besar hasil daripada status ASEAN sebagai pengeluar dan pasaran tunggal. Tetapi bagaimana pula dengan sektor SMI/SME yang dimiliki oleh rakyat tempatan? Mampukah sektor ini mengekang persaingan? 

Melalui ciri-ciri AEC yang kelihatan menyerupai Kesatuan Eropah (EU), adalah tidak terlari jauh sekiranya AEC dan EU dibandingkan. Di kalangan 28 negara anggota EU wujud kebebasan pergerakan barangan dan servis, tiada sekatan pengaliran pelaburan dan modal, dan yang paling memberikan kesan langsung kepada rakyat kebanyakan ialah kebebasan pergerakan tenaga kerja.

Pada hari ini, belum pun dibuka sekatan dengan sepenuhnya, sudah banyak buruh asing menghuni negara. Apakah Malaysia akan menerima lambakan pekerja asing (sama ada buruh mahir, separa mahir atau tidak mahir) sehingga menyekat peluang pekerjaan untuk warganegara sendiri? Sekiranya perkara tersebut berlaku ia pasti akan mengimpak kepada masalah sosial, ekonomi, keselamatan insan (human security) dan kedaulatan negara. Paling buruk adalah masalah imigran yang sentiasa menjadi masalah utama negara. Adakah kita sudah bersiap sedia dengan kebarangkalian tersebut? Keadaan tersebut telah pun berlaku di United Kingdom (UK). Perdana Menteri Britain, David Cameron mencadangkan agar imigran dari negara anggota yang miskin dalam EU disekat daripada berhijrah ke UK.

Selanjutnya, walaupun sekatan dalam bentuk tariff sedia dikurangkan kini bagi barangan buatan negara ASEAN, tetapi barangan dan perkhidmatan berterusan naik harga di negara ini. Apa jaminan terhadap kestabilan harga apabila pergerakan barangan dan perkhidmatan sangat mudah masuk dan keluar? Adakah akan wujud istilah mampu milik dalam sektor hartanah negara apabila pelaburan dan modal mudah masuk dan keluar? Adakah pada waktu itu pemerintah akan mencadangkan warganya membeli hartanah di negara lain kerana hartanah di dalam negara sendiri hanya mampu dibeli oleh warga asing? Juga, apa jaminan syarikat milik negara (GLC) tidak diambil alih oleh syarikat gergasi daripada negara anggota yang lain? Apa jaminan Malaysia tidak akan muflis seperti Greece yang menganggotai EU? Akhir sekali, apa jaminan warga Malaysia tidak akan menjadi imigran di negara anggota yang lain?

Sehingga kini, EU tidak sepenuhnya terintegrasi. Ada pihak yang skeptik dengan EU sebagaimana UK yang terus mengguna pakai matawang Pound Sterling. Ditakuti Jerman menguasai Eropah secara total. Demikian juga dengan kemasukan Turki sebagai anggota EU. Kepesatan ekonomi Turki dan keremajaan populasi membolehkannya menguasai EU yang sedang dalam proses penuaan daripada sudut demografi penduduk. Kemasukan Turki ke dalam EU dan dengan AKP (parti yang dipimpin Erdogan) yang masih berkuasa dikhuatiri akan menyebabkan berlakunya "the Ottomanization of Europe".

Ukraine berminat untuk terus bersama Russia membentuk EAU (Eurasian Union). Presiden Putin mengesyorkan sebuah organisasi serantau yang merangkumi kebanyakannya negara bekas Kesatuan Soviet. Sekiranya menjadi realiti, boleh dijangkakan akan berlakunya satu lagi gelombang "the Russification of Eurasia" selepas era Empayar Russia dan era Soviet.
Justeru, apakah tidak mustahil akan berlakunya "the Singaporization of South East Asia" sekiranya EAC mengambil tempat? Atau mungkin "the Indonesianization of South East Asia"? Mungkin tidak disedari di Malaysia, tetapi dunia sedang memerhatikan Indonesia sama ada dengan penuh minat. Mendiang Huntington juga pernah mengatakan sekiranya berlaku perang dunia ketiga Indonesia akan muncul sebagai kuasa besar dunia.

Selepas 1997, Indonesia bukan hanya mengalami reformasi politik, bahkan ekonomi. Negara jiran yang dulu pernah menjadi pembekal utama buruh domestik di Malaysia kini sudah menjadi ekonomi yang bertenaga. Maka, di manakah Malaysia dalam ruang lingkup AEC?

Sekiranya AEC adalah suatu ketentuan, maka pasti ramai mengimpikan Malaysia di era AEC sebagai peneraju ekonomi dan politik ASEAN. Sebagai negara berpendapatan paling tinggi di ASEAN maka sewajarnya pada waktu itu tiada tol yang menyekat pergerakan kenderaan di lebuh raya, harga barang dan perkhidmatan yang rendah berikutan lambakan produk negara jiran. SMI dan SME yang berdaya maju kerana dapat mengeksploit tenaga buruh, sumber asli dan sumber sekunder murah dari negara jiran. SMI dan SME yang berjaya menjadi gergasi kerana mudah meneroka pasaran ASEAN. Syarikat Malaysia mampu mengambil alih syarikat negara-negara ASEAN lain, dan warga Malaysia yang bukan hanya mampu memiliki hartanah di negara sendiri bahkan di mana-mana lokasi dalam Asean.

Tetapi, sebelum mimpi jadi realiti, rakyat berhak tahu, di era media sosial tindakan negara yang gemar berahsia bukanlah tindakan bijak. Perbuatan menyorok butiran seperti perjanjian Kerjasama Trans-Pasifik (TPPA) hanya mengundang emosi.

Forum, debat, perbincangan dan sebagainya perlu diadakan supaya mata dan minda rakyat dibuka seluasnya, supaya rakyat dapat bersedia dengan secukupnya bagi menghadapi era AEC. Cukuplah membuat dendangan sumbang di media-media berkaitan perkara yang tidak membawa kepada perkembangan Malaysia.