12 September 2013

Bendera Rakyat vs Jalur Gemilang

Seperti biasa, aku terlambat sedikit dalam menjelaskan isu-isu terkini disebabkan aku sibuk menguruskan hal-hal lain. Tapi itu tak menghalang untuk aku berkongsi ilmu. Berkenaan masalah sang saka malaya yang dikibarkan di Dataran Merdeka sempena kemerdekaan negara. Mari kita buka mata dan belajar sejarah. Mari kita kembali ke tahun-tahun para dewa dewi di nusantara sewaktu Islam belum lagi menjejakkan kaki ke Nusantara. 

1. Menurut mitos Nusantara, nenek moyang kita benar-benar menghormati matahari dan bulan dan terdapat dalam ajaran Surya Candra (Matahari Bulan). Matahari dilambangkan dengan merah, manakala putih dilambangkan sebagai bulan. Penghormatan terhadap Surya Candra ini tersimpan kemas dalam kisah-kisah dari Sulawesi iaitu Hikayat Dewi Kelinci dan Dewi Manimporok.

2. Merah dan Putih juga digambarkan sebagai Darah dan Getah iaitu perlambangan kepada Manusia dan Tumbuhan, iaitu dia entiti alam yang saling memerlukan

3. Sekitar tahun 2000 S.M. di Tunggurwangi (Pagaralam) Sumatera Selatan ada gambaran seorang pahlawan di sebelah seekor binatang Sakti dengan menggapit tanda merah putih. 

4. Dalam kitab Sejarah Melayu atau Sulatussalatin (abad ke 7) karangan Sri Lanang, diceritakan bahwa ketika Sri Tri Buana hendak meninggalkan kaki bukit Seguntang berdekatan dengan kota Palembang pergi berlayar menuju Minangkabau memakai payung besar bertongkat merah dan tunggul panji-panji awan berarak (putih) bererti pada zaman Sriwijaya warna merah dan putih sudah di hormati. 

5. Pada abad ke-9 yaitu pada zaman pembangunan candi Borobudur pada kaki candi Borobudur yang kini tertimbun di dalam tanah terdapat pahatan lambang warna yang melambai, masing-masing terdiri dari dua helai di atas lambang itu tertulis ”pataka” dalam huruf Jawa kuno yang mungkin berwarna merah putih, karena di Jawa Tengah lazim dikenal warna Gula Kelapa (Merah Putih).

6. Pada tahun 1292 pasukan Jayakatwang dari Kediri yang menyerang Singhasari juga mengibarkan bendera berwarna merah putih. 

7. Pada zaman Majapahit, tatkala kembalinya temtara Pamalayu ke Majapahit bersama dua Putri bernama Dara Jingga (merah) dan Dara Perak (putih). 

8. Istana Hayamwuruk di Trowulan, berdinding merah dan berlantai putih. 

9. Zaman Mataram (Islam) 1575-1750, terkenal Bendera bercorak gula kelapa.

10. Istana Surakarta tersimpan sebuah panji berasal dari peninggalan Kyai Ageng Tarub (seorang keturunan Brawijaya) yang memakai dasar putih bertuliskan huruf Arab berwarna merah. 

Bendera Majapahit: Dikenali sebagai Umbul-umbul/Dwaja/Pataka
Tahun: 1293 - 1800
Berdasarkan beberapa poin di atas, boleh kita lihat bahawa Nusantara mempunyai sejarah yang panjang dengan bendera Merah Putih. Merah putih bukan sahaja sebagai lambang negara malah digunakan sebagai ritual keagamaan sehinggalah menjadi panji-panji perang. Merah Putih sukar untuk dipisahkan dengan jiwa penduduk Nusantara. Dapat dilihat bahawa majapahit telah menggunakan bendera berjalur-jalur merah putih sebagai bendera rasmi.

Sehingga akhir abad ke-16, Syarikat Hindia Timur Inggeris (EIC) dan Syarikat Hindia Timur Belanda (VOC) melebarkan pengaruh mereka untuk menguasai perdagangan rempah di Nusantara, kerajaan-kerajaan di Nusantara terjejas. Kedatangan British ke Nusantara telah meresap pengaruh bendera majapahit di dalam bendera EIC dengan menerapkan elemen-elemen jalur merah putih dan di masukkan sekali bendera kerajaan England.

Bendera Syarikat Hindia Timur British
Tahun 1685 (Memasukkan George Cross bagi mewakili kerajaan England)
Bendera Syarikat Hindia Timur British
Tahun 1707 (Selepas pembentukan Kingdom of the Great Britain, memasukkan bendera Union Flag)
Bendera Syarikat Hindia Timur British
Tahun 1801 (Memasukkan bendera Union Flag of Great Britain and Ireland)
Bendera Syarikat Hindia Timur Inggeris ini juga kemudiannya di implementasikan dalam membentuk bendera Amerika Syarikat sebelum diubahsuai dengan menggantikan bendera Britain dengan bintang putih berlatar biru.
Bendera Amerika Syarikat: The Star and Stripes
Tahun 1777 dan diubahsuai pada tahun 1960
Sehingga pada pertengahan abad ke-19, gerakan-gerakan nasionalis mula mengambil tempat dinusantara dan gerakan ini mula menuntu kemerdekaan dengan pelbagai cara temasuklah melalui kekerasan dan juga diplomasi. Maka semangat merah putih sekali lagi meresap ke dalam gerakan nasionalis ini dan menjadikan ikon merah putih sebagai semangat dan kesucian perjuangan mereka.

Pada tahun 1928, bendera merah putih diterima dalam Sumpah Pemuda dan pada tahun 1945 Sang Saka Bangsa Diterima sebagai bendera Republik Indonesia
Bendera Republi Indonesia: Sang Saka Merah Putih
Tahun 1945
Pada tahun 1946, Persidangan UMNO ke-2 yang diadakan di Ipoh Perak telah membincangkan bendera yang perlu digunakan oleh UMNO. Terdapat beberapa cadangan dan dua cadangan terbesar adalah dari Ikatan Setia Kampung Baru, Kuala Lumpur dan Parti Kebangsaan Melayu Malaya. Namun Cadangan dari PKMM kalah dengan beberapa undian sahaja dan bendera cadangan Ikatan Setia Kampung Baru dipilih sebagai bendera UMNO dengan nama bendera Sang Saka Bangsa

Bendera UMNO: Sang Saka Bangsa
Tahun 1946 (Cadangan oleh Ikatan Setia Kampung Bahru)

Pada waktu Tanah Melayu sedang sibuk menuntuk kemerdekaan, Parti Kebangsaan Melayu Malaya muncul dengan bendera mereka yang dikenali dengan Sang Saka Malaya atau Bendera Rakyat atau Bendera Malaya Merdeka. Bendera ini telah digunakan secara rasmi bagi mewakilkan Tanah Melayu dalam para perwakilan Malaya di Sidang Serantau Asia (Asian Relations Conference) pada penghujung tahun 1947 di New Delhi, India. Sekaligus Bendera Sang Saka Malaya ini telah menjadi bendera rasmi bagi ketika itu. Rekaan bendera ini seterusnya dihantar oleh PUTERA-AMCJA bagi bendera Persekutuan Tanah Melayu yang merdeka. Dua belas butir bintang tersebut adalah mewakili 12 negeri-negeri di semenanjung Tanah Melayu iaitu Negeri Sembilan, Selangor, Perlis, Terengganu, Kedah, Kelantan, Pahang, Johor, Perak, Singapura, Melaka dan Pulau Pinang.

Bendera PKMM: Sang Saka Malaya/Bendera Rakyat/Bendera Malaya Merdeka
Tahun 1947
Malangnya pada tahun 1950, bendera Sang Saka Malaya tidak terpilih sebagai bendera Persekutuan Tanah Melayu, sebaliknya bendera rekaan Mohamad Hamzah dari Johor dipilih. Dan kemudiannya diubahsuai pada tahun 1963, dan namanya ditukar kepada Jalur Gemilang pada tahun 1997. Bendera ini dikatakan mengambil elemen-elemen jalur merah putih dari bendera Syarikat Hindia TImur Inggeris.

Bendera Malaysia: Jalur Gemilang
Tahun 1950 dan diubahsuai pada tahun 1963.
Sang Saka Malaya (2007) pula merujuk kepada bendera rekaan pemimpin Angkatan Muda Keadilan (AMK) Mohd Najwan Halimi. Bendera ini telah dibawa oleh penyokong Himpunan Janji Demokrasi dengan rekabentuk bendera merah putih bersama bulan dan bintang 11 bucu. Terdapat gerakan yang menggesa supaya bendera Jalur Gemilang Digantikan dengan Bendera Sang Saka Melaya.
Sang Saka Malaya
Tahun 2007
Bendera Identiti dan Lambang Negara
Bendera memainkan peranan penting dalam menjadi identiti dan lambang kepada negara, seterusnya menjadi simbol kepada bangsa. Malaysia telah melalui pelbagai detik-detik sejarah sebelum kemerdekaan negara dicapai, sehingga darah keringat dan airmata tidak tertadah. Sungguhpun bendera Jalur Gemilang dikatakan meniru elemen-elemen dari Bendera Syarikat Hindia Timur Inggeris, janganlah kita lupa sejarah bahawa bendera Syarikat Hindia Timur Inggeris juga mengambil elemen dari bendera Majapahit, saudara kerajaan nusantara kita.

Walaupun Sang Saka Malaya tidak terpilih sebagai bendera Malaysia, semangat merah putih didalam sang saka malaya tetap terus utuh di dalam jalur gemilang. Dua bendera berbeza, tetapi membawa semangat yang sama. Semangat kemerdekaan, semangat perjuangan berkurun-kurun lamanya dari zaman dewa dewi nusantara sehinggalah zaman moden kini. Semangat kemerdekaan dan perjuang itu tetap utuh tersimpan dan tersemat kemas dalam warna merah putih yang kini tersulam indah mewakili Malaysia. Bahkan bukan sahaja Malaysia, Indonesia, Thailand, Singapura, dan Filipina juga tidak terkecuali mahu mengabadikan perjuangan nenek moyang mereka di dalam bendera merah putih.

Cukuplah, hentikanlah gerakan-gerakan dalam mengubah identiti negara tanpa mengambil kira sejarah negara. Kerajaan Malaysia juga sepatutnya janganlah menutup mata rakyat dengan menggelapkan sejarah Sang Saka Malaya yang sama-sama menuntuk kemerdekaan dengan Sang Saka Bangsa walau berlainan medium dan ideologi, tetapi dengan semangat Sang Saka Malaya dan Sang Saka Bangsa inilah, Jalur Gemilang dapat dikibarkan.

Kibarkan dan banggalah dengan Jalur Gemilang.
Selamat Hari Malaysia

p/s: Sebarang kesalahan fakta diminta untuk maklumkan secepat mungkin supaya dapat dibaiki. Terima Kasih

No comments: