12 September 2013

20sen Seliter.

*artikel ini ditulis pada 6 September 2013*

Mungkin aku sedikit lambat, tapi bila bercakap tentang perkongsian ilmu, tiada apa yang lambat. Sudah masuk hari ke tiga berita kenaikan harga harga petrol RON 95 dan Diesel, dan berita ini semakin hari semakin sejuk, kecuali jika ada pihak yang sentiasa memainkan isu ini. Penulisan aku ini bukan untuk mengencam kenaikan harga petrol yang diumumkan oleh PM kita, tapi aku akan cuba mengeluarkan hujah-hujah untuk anda fikirkan.

Subsidi Kerajaan
Terdapat enam jenis barangan yang dikenakan subsidi oleh kerajaan iaitu Petrol RON 95, Bahanapi Diesel, Gas Petroleum Cecair (LPG), Tepung Gandum Kegunaan Am, Gula, dan Minyak Masak. 


Harga Petroleum Semasa
Untuk mengetahui kadai harga petroleum semasa, dua tanda aras harga minyak perlu dinilai iaitu WTI (West Texas Intermediate) Crude Oil dan Brent Crude Oil.

 

Pengurangan Subsidi: Rasionalisasi atau Bebanan
PM menyatakan kenaikan harga petrol adalah untuk mengelakkan masalah kepada kedudukan kewangan negara. Kata PM: "Ini mungkin akan jadi bebanan sikit kepada rakyat, tetapi kalau kedudukan kewangan (negara) keseluruhan terjejas, ia akan merosakkan seluruh negara." Untuk analisis hal ini, aku akan bahagikan hujah ini kepada dua, pro dan kontra, baik dan buruk, rasionalisasi dan bebanan.


Pro: Rasionalisasi
1. Penstrukturan Semula Subsidi Petrol
Pengarah Eksekutif Institut Pembangunan Sosio-Ekonomi dan Penyelidikan (SEDAR) Ivanpal S.Grewal berkata ia adalah langkah paling tepat ke arah menstruktur semula kaedah yang digunakan dalam memberikan subsidi. Kata beliau: "Kaedah pemberian subsidi sekarang ini tidak kena pada tempat, tidak cekap dan membazir. Tujuan sebenar pemberian subsidi ini adalah untuk membantu golongan tidak berkemampuan. Apa yang penting adalah pengurusan lebih baik subsidi dan perlu lebih fokus dalam membantu mereka yang memerlukan,"

Pada 2007, kerajaan membelanjakan RM40.1 bilion dalam subsidi untuk mengawal harga. Pada 2009, lebih kurang 22 peratus perbelanjaan kerajaan adalah pada subsidi, dengan subsidi petrol sahaja mewakili 12 peratus daripada jumlah itu. Dan bagi peruntukan subsidi berjumlah RM30 bilion pada tahun ini, subsidi bahan bakar sahaja berjumlah RM24 billion, komponen terbesar dalam peruntukan berkenaan.

2. Harga Minyak Semasa dan  Ramalan Kenaikan Harga Minyak.
Nilai minyak berdasarkan WTI dan Brent memperlihatkan peningkatan nilai sebanyak 1.05% dan 0.30%. Walaupun nilai ini bukanlah nilai yang tertinggi pernah diumumkan dan peningkatan yang dinyatakan adalah sangat sedikit dan hampir mendatar, peningkatan ini tetap memberikan tekanan dalam pengeluaran dana negara untuk menanggung subsidi petrol. 

Ramalan setahun pula memperlihatkan kenaikan harga minyak kepada $124 setong pada tahun hadapan tanpa mengira faktor-faktor geopolitik semasa. Peramal harga minyak meramalkan krisis di Syria dan Mesir akan menyebabkan harga minyak akan terus meningkat. Ditambah pula dengan Amerika Syarikat yang berkemungkinan mengisytiharkan perang dengan Syria, sekiranya ini direalisasikan oleh AS, harga minyak semasa akan dilihat terus meningkat. Jadi pengumuman pengurangan subsidi ini adalah bertepatan dengan masanya bagi menghadapi krisis timur tengah yang dilihat semakin meruncing dan menyebabkan kenaikan harga minyak semasa.

Kontra: Bebanan Rakyat
1. Melindungi korporat
Manakala menurut Rafizi Ramli, kenaikan harga minyak akan menjimatkan subsidi minyak tahunan sebanyak RM3.3 bilion dalam tahun 2014 ke atas. Beliau juga mengumumkan bahawa anggaran jumlah subsidi yang ditanggung tahun depan (berikutan kenaikan harga minyak ini) adalah RM24.8 bilion. Setiap tahun, anggaran jumlah penggunaan petrol dan diesel adalah sebanyak 10 bilion liter (petrol) dan 6.5 bilion liter (diesel) . Pada kadar subsidi sebanyak 83 sen bagi seliter petrol dan RM1 bagi seliter diesel, jumlah subsidi petrol dan diesel adalah sebanyak RM14.8 bilion setiap tahun, iaitu hanya 59% dari jumlah subsidi bahan api yang dibelanjakan kerajaan. Sejumlah RM10 bilion subsidi (atau 41% peratus) setiap tahun adalah subsidi gas dan LPG yang ditanggung oleh kerajaan. Ini tidak termasuk anggaran subsidi gas kepada penjana bebas (IPP) sebanyak sekitar RM8 bilion setiap tahun. Ini bermakna, subsidi korporat yang diberikan melalui subsidi gas kepada industri dan penjana bebas (dianggarkan sekitar RM13 bilion setiap tahun) adalah hampir sama dengan subsidi petrol dan diesel yang diberikan kepada rakyat. 

2. Kurangnya Kajian Tentang Kesan Kenaikan Minyak
Dalam kenyataan akhbar hari ini, keputusan Jawatankuasa Fiskal Negara telah mengambil keputusan drastik ini setelah mengkaji dalam berbagai aspek dan sudut ekonomi, tapi bila Kementerian Pertanian melalui Menterinya, mengumumkan mahu mewujudkan jawatankuasa mengkaji kesan keatas Nelayan berikutan kenaikan ini dan laporannya akan siap dalam tempoh sebulan, menggambarkan kepada rakyat bahawa kajian yang dibuat Jawatankuasa Fiskal Negara adalah tidak menyeluruh dan ini adalah sesuatu yang amat malang apabila sesuatu keputusan diumum tidak ada penyelarasan antara kementerian.
3. Memberi Kesan Kepada Golongan 
Pendapatan dan perbelanjaan setiap isirumah adalah berbeza-beza mengikut taraf sosioekonomi keluarga. Mengikut kajian yang dibuat oleh MIER dan berdasarkan Kajiselidik Belanja Isirumah 2009/10, anggaran perbelanjaan untuk petrol dan diesel mengikut kategori pendapatan keluarga adalah seperti berikut: 

  Pendapatan bulanan isirumah (RM) -------- % isirumah membiayai petrol dan diesel             
Bawah 500        --------        35                               
500 – 1,000         --------        27                                  
1,000 – 2,000         --------        25                                     
2,000 – 3,000         --------        22                                    
3,000 – 4,000         --------        20                                    
 4,000 Keatas         --------        10                                   

Ini bermakna, keluarga yang berpendapatan rendah dan sederhana secara puratanya membelanjakan lebih banyak pendapatan mereka setiap bulan untuk membiayai petrol dan diesel (oleh kerana pendapatan mereka lebih rendah dan bahan api adalah keperluan). Oleh itu, kenaikan harga minyak sudah tentu menekan keluarga berpendapatan rendah dan sederhana kerana jumlah tanggungan tambahan setiap bulan adalah besar berbanding pendapatan bulanan mereka.

Kenaikan Harga Minyak: Kesan Domino (Dominoes Effect)

Mungkin ada yang sudah biasa dengan terma 'Kesan Dominos' (Dominoes Effect), atau terma 'Kesan Pengkali' (Multiplier Effect). Apa yang dimaksudkan dengan kesan domino adalah apabila kerajaan mengambil sesuatu keputusan, akan membawa kesan kepada perkara yang lain, dan perkara itu akan membawa kesan kepada perkara yang lain, dan seterusnya. Ia umpama kesan berangkai dan berkait anatara satu sama lain.

OECD (Organisation for Economic Co-operation and Development) mengeluarkan satu kajian dalam kesan peningkatan harga minyak terhadap aktiviti ekonomi dan inflasi. OECD menganggarkan bahawa kenaikan harga bahanapi akan memberi kesan kepada aktiviti ekonomi dan menyebabkan inflasi (berdasarkan model globel OECD); memberi impak kepada aktiviti dalam jangka masa pendek; dengan kadar inflasi dan aktiviti yang rendah nilai matawang negara berpotensi untuk menurun.

Kenaikan Harga Minyak: Jangan Samakan Malaysia dengan Negara Luar
Timbalan Menteri Kewangan menyatakan bahawa harga minyak Malaysia adalah yang kelapan termurah di dunia selepas Venezuela, Arab Saudi, Kuwait, Mesir, UAE, Iran dan Nigeria. Bagi membuktikan harga minyak di Malaysia adalah kelapan termurah di dunia, maka Timbalan Menteri Kewangan mengumumkan harga RON 95 dan diesel di negara jiran kita. Antaranya ialah Thailand RM4.74 dan RM3.06, Singapura (RM5.56 dan RM4.32), Indonesia (RM3.05 dan RM3.43) dan Filipina (RM5.44 dan RM4.32).

Sekarang aku nak persoalkan, apakah releven harga minyak Malaysia dibandingkan dengan negara-negara tersebut? Apakah kita hendak menafikan fakta bahawasanya harga minyak petrol di Brunei, Qatar, Bahrain, Algeria, Sudan, Libya dan Oman adalah lebih murah dari Malaysia? Kenapa Timbalan Menteri Kewangan tidak menyatakan juga harga minyak di negara tersebut? Mengapa memberikan hujah yang salah atau berhujah dengan menyembunyikan fakta yang nyata? Pemberian fakta yang tidak tepat dan kenyataan yang menafikan intelek rakyat perlu dihentikan segera oleh kerajaan.

Dalam ilmu pembandingan, adalah tidak adil dengan hanya membandingkan 'minyak' semata-mata dengan diabaikan perkara-perkara lain. Dan apakah ketujuh-tujuh negara yang diumumkan oleh Timbalan Menteri Kewangan tersebut sesuai untuk dibandingkan dengan Malaysia dengan hanya mengambil kira sebagai negara jiran? Samalah juga dengan membandingkan motosikal kita lebih canggih berbanding motosikal jiran, dengan mengabaikan perkara-perkara lain seperti gaji dan kemampuan jiran, nilai tanggungan dan hutang jiran, serta lain-lain. Kenapa tidak kita bandingkan motosikal kita dengan orang yang lebih setanding dengan kita, biarpun bukan jiran.Jikapun hendak memberikan analisis perbandingan dengan negara lain, berilah analisis perbandingan yang sesuai, bukannya untuk sesuaikan data dengan keperluan dan hujah kita. Analisis akademik menuntut kejujuran kita memberikan data yang tepat. Begitulah!

Berikut adalah perkara-perkara yang perlu dibandingkan secara serentak dengan negara-negara lain supaya perbandingan yang dilakukan adalah lebih adil:

1. Harga Kereta.
Di Indonesia misalnya, jika setakat kereta Toyota Vios, mereka buat teksi sahaja. Jika di Finland dan Sweden, teksi mereka semuanya terdiri dari kereta mewah — lebih dari separuh teksi mereka menggunakan kereta Mercedes dan selebihnya BMW, Audi dan Volkswagen.

2. Kos Harga Rumah
Dengan kos harga rumah kita yang ‘over priced’ dan kenaikannya tidak terkawal, apakah harga rumah di negara kita masih yang termurah di dunia?

3. Hutang Isi Rumah
Data menunjukkan lebih enam juta isi rumah rakyat di negara ini kini menanggung hutang berjumlah RM653 bilion. Secara purata, ini bermakna setiap isi rumah di negara ini tidak kira pangkat, status dan usia mempunyai hutang kira-kira RM108,000 seorang. Kadar hutang ini adalah amat membimbangkan, apatah lagi peningkatan nisbah hutang isi rumah Malaysia kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) meningkat setiap tahun dari 63.9% pada tahun 2008 kepada 76.6% tahun 2009, 75.8% tahun 2010, 76.6% tahun 2011 dan 80.5% pada tahun 2012. Rekod terkini hutang isi rumah Malaysia untuk tahun 2013 berada pada kadar 83.0% dari KDNK yang menyebabkan amaran untuk berwaspada daripada penganalisis kewangan di rantau ini.

Kenyataan oleh Timbalan Menteri Kewangan tidak tepat dan hujah inilah yang sentiasa diberikan secara berulang-ulang setiap kali harga minyak naik. Carilah alasan yang boleh diterima umum seperti demi kesihatan ekonomi negara, bagi mengurangkan defisit fiskal, kita terbeban dengan hutang luar, bagi faedah ekonomi negara jangka masa panjang, bagi mengurangkan jumlah subsidi kerajaan yang semakin meningkat, akibat kenaikan harga minyak di pasaran dunia ataupun sebahagian daripada proses rasionalisasi bagi membantu menstabilkan ekonomi negara.

BR1M Menggantikan 20sen

Aku juga tertarik dengan alasan yang diberikan oleh Timbalan Menteri Kewangan yang menyatakan kenaikan harga minyak adalah untuk membolehkan kerajaan memberikan BR1M kepada rakyat. Katanya: "Bantuan subsidi seharusnya disalurkan kepada yang benar-benar memerlukan dan melalui pemotongan subsidi (kenaikan harga petrol) ini kerajaan kemudian menyalurkan Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) untuk rakyat yang berpendapatan rendah."

Apakah kaitan antara kenaikan harga minyak dengan bantuan BRIM yang diberi oleh kerajaan kepada rakyat? Pemberian BR1M ini untuk apa? Sebagai umpan untuk menggula-gulakan rakyat atau benar-benar untuk menolong rakyat? Jika untuk menolong rakyat miskin, kenapa pula BR1M yang diberikan itu diambil semula dalam bentuk menaikkan harga minyak petrol? Tidakkah kerajaan sedar dengan kenaikan harga petrol ini, BRIM yang diberikan kepada rakyat tidak dapat menampung beban kehidupan mereka kerana kenaikan harga petrol tersebut tentulah datangnya bersama dengan kenaikan kos hidup dan kos barangan keperluan harian? Tidakkah ini tidak boleh difikirkan oleh kerajaan?

Pertamanya, jumlah BR1M (kalau pun dinaikkan nilainya) tidak berpadanan dengan tanggungan belanja setiap isirumah. Selain dari belanja petrol dan diesel yang meningkat sebanyak RM752 setahun (yang nilainya lebih tinggi dari BR1M), setiap isirumah juga terpaksa berhadapan dengan masalah kenaikan harga barang secara keseluruhannya akibat inflasi. Jumlah tanggungan adalah jauh lebih tinggi dari nilai RM500 BR1M yang ditawarkan. Keduanya, hanya sebahagian rakyat Malaysia yang menerima BR1M iaitu sekitar 40% isirumah, sedangkan 40% lagi golongan sederhana yang turut terkesan tidak mendapat sebarang bantuan


ps: sebarang kesalahan fakta sila maklumkan segera untuk dibaiki. Terima kasih.

Rujukan:
Penulisan Mohammad Agus Yusoff (sumber)
Penulisan Syed Azidi Syed Abdul Aziz (sumber)
Penulisan Rafizi Ramli (sumber)
Organisation for Economic Co-operation and Development (sumber)
Beritah Harian (sumber) (sumber)

No comments: