01 June 2013

Perbezaan Ideologi: Antara Kesatuan dan Perpecahan

Rabu lalu telah dijalankan sebuah Wacana Siswa dengan tajuk yang agak menarik. Aku agak terpanggil untuk menghuraikan dengan lebih lanjut mengenai tajuk ini. Baiklah, disebabkan program ini adalah wacana siswa, barisan panel lebih memfokuskan tajuk ini di dalam konteks kampus dan mahasiswa. Aku akan fokuskan perbincangan, berpandukan beberapa poin-poin yang diutarakan oleh panel, iaitu Saudara Juhar dan juga tetamu khas iaitu Dr. Nordi.


Definisi Ideologi
Nak faham ideologi tidak perlu dengan quote kata-kata dari tokoh terkenal. Untuk faham ideologi itu mudah. Contoh, selepas menonton filem hantu pocong (misalnya), Ali kata hantu pocong tu jelmaan syaitan, Abu kata hantu pocong itu ilusi manusia. Ali dan Abu ada pemahaman berbeza tentang hantu pocong, ini bermakna mereka mempunyai berpezaan ideologi tentang hantu pocong. Bermaksud ideologi itu adalah pemahaman dan kepercayaan yang kita pegang mengenai sesuatu perkara. Ianya boleh jadi mengenai hantu pocong, kenegaraan, kemahasiswaan, perpecahan, politik, ekonomi (senarainya tidak akan terputus selagi ada perkara yang menjadi percanggahan pemahaman).

Saudara Juhar menyatakan bahawa ideologi dan fahaman adalah berbeza. Namun bagi aku, fahaman dan ideologi adalah perkara yang saling berhubung kait. Ideologi tidak akan wujud tanpa fahaman dan kepercayaan tentang sesuatu perkara. Fahaman yang mudah juga boleh tumbuh menjadi ideologi yang merubah corak pemikiran. Contohnya, Ali mempunyai fahaman dan kepercayaan bahawa berkongsi itu mulia dan bagus. Fahaman ini mudah dan ringkas. Fahaman yang mudah ini boleh berkembang luas menjadi ideologi, seperti ideologi komunisme bahawa setiap harta yang dimiliki harus dikongsi sama banyak dengan orang lain.

Ideologi sebagai agen penyatuan Mahasiswa.
Ideologi mampu menjadi agen penyatuan mahasiswa sekiranya terdapat ramai mahasiswa yang memegang ideologi yang sama. Ini bermaksud, untuk semua pelajar dalam sesebuah universiti untuk bersatu, sebuah ideologi yang dapat diterima oleh mahasiswa perlulah wujud supaya setiap mahasiswa dapat memperjuangkan ideologi ini. Contohnya, UMSU (University Malaya Student Union) yang wujud pada sekitar tahun 1960-an telah membawa idea penyatuan keseluruhan penuntut di Universiti Malaya. UMSU telah berjaya dalam banyak bidang terutamanya menjaga kebajikan pelajar secara keseluruhannya, sehingga mampu mewujudkan koperasi pelajar yang tersendiri dan terlibat secara langsung dalam pentadbiran universiti pada ketika itu. Pada ketika itu juga, hubungan baik setiap pelajar dapat dijaga dan diharmonikan sehingga suara mahasiswa didengar dan dihormati terutamanya oleh pihak pengurusan universiti dan masyarakat luar. 

Objektif atau ideologi yang dibawakan oleh UMSU ini adalah:

  1. Untuk mempromosi dan melindungi kepentingan Universiti dan semua ahli Kesatuan.
  2. Untuk mendukung dan menghormati maruah dan kesamarataan setiap ahli Kesatuan tanpa mengira agama, bangsa atau politik.
  3. Untuk menggalakkan dan aktiviti lagi sosial, budaya dan sukan.
  4. Untuk memupuk kehidupan korporat di kalangan ahli-ahli Kesatuan, tanpa mengira agama, bangsa atau politik.
  5. Untuk mewujudkan satu cara komunikasi yang diiktiraf oleh Pihak Berkuasa Universiti, Persatuan Siswazah, medium pembelajaran, dan orang awam.
  6. Untuk menjalankan aktiviti yang dianjurkan pelbagai jenis di peringkat tempatan dan kebangsaan, untuk mengumpul dana untuk projek-projek kebajikan pelajar berdsarkan kelulusan Majlis Pelajar.
  7. Untuk menggalakkan semangat Perpaduan dan Kewarganegaraan.
  8. Ini terbukti bahawa sebuah ideologi mampu menyatukan mahasiswa.


Kini, badan yang sepatutnya bertanggungjawab bertindak seumpama UMSU adalah MPP (Majlis Perwakilan Pelajar). MPP sebagai badan yang dilantik oleh pelajar sendiri seharusnya menjaga dan melindungi hak-hak mahasiswa. Masalahnya yang timbul disini adalah, mengapa masih wujud perpecahan dalam kalangan mahasiswa sekiranya MPP itu sendiri dipilih oleh mahasiswa? Atau adakah kerana MPP tidak mampu melaksanakan tugasan sebagai wakil pelajar? Ini sebenarnya adalah persoalan-persoalan yang wajib dibangkitkan dalam setiap mesyuarat MPP. MPP perlulah dengan konsisten mewujudkan nilai-nilai kesatuan dalam kalangan mahasiswa.

Ideologi memecahkan mahasiswa
Ideologi yang dibawakan oleh UMSU pada tahun 1960-an berjaya menyatukan mahasiswa pada ketika itu. Namun, zaman berubah. Universiti-universiti di Malaysia menerima masuk semakin banyak ideologi-ideologi asing dari luar. Timbunan pelbagai ideologi asing ini menyebabkan berlakunya percanggahan fahaman tentang sesuatu perkara, terutamanya dalam politik kampus. Sehingga kini, wujudnya beberapa blok mahasiswa dalam pentadbiran badan pelajar itu sendiri. Perbezaan blok ini mewujudkan perpecahan mahasiswa ke dalam beberapa kelompok tertentu. Umum kini mengetahui bahawa universiti-universiti tempatan dipecahkan dengan blok Pro-Aspirasi dan Pro-Mahasiswa. Dapat dilihat bahawa ideologi itu sendiri mewujudkan perpecahan dalam kalangan mahasiswa. Perbezaan ideologi, ada baik buruknya. Jangan terlalu beranggapan perbezaan ideologi membawa kehancuran. perbezaan ideologi juga adalah penting sebagai check and balace dalam sesuatu hal.

Pertembungan ideologi dalam politik negara.
Menurut Dr. Nordi dalam wacana siswa, politik bukanlah segala-galanya, tetapi segala-galanya berkait dengan politik. Dalam pentadbiran negara, pertembungan ideologi politik sentiasa kita dengar di media. Namun, politik Malaysia berbeza berbanding politik di AS misalnya. Politik di AS adalah melibatkan pertembungan dua blok ideologi politik yang berbeza, iaitu Republikan dan Demokrat. Demokrat adalah lebih liberal, dan mempercayai bahawa kerajaan perlu menjaga kebajikan setiap warganya. Manakala Republik adalah lebih konservatif, dengan mempercayai bahawa rakyat perlu mengurangkan kebergantungan mereka pada kerajaan. 


Berbeza dengan Malaysia, walaupun terdapat pelbagai parti politik namun ideologi politik yang dipegang masih mempunyai benang merah. Ya, masih terdapat pertembungan ideologi dalam politik Malaysia. Setiap parti politik memperjuangkan ideologi mereka tersendiri. Contohnya, PAS dengan ideologi islamis (perjuangan politik berdasarkan nilai dan kepentingan islam), DAP dengan ideologi liberalis (perjuangan politik berdasarkan nilai-nilai bebas dan telus), dan PSM dengan ideologi sosialis (perjuangan politik berdasarkan kesamarataan hak-hak rakyat), dan UMNO MIC MCA dengan ideologi rasis (perjuangan politik berdasarkan kepentingan kaum). *Bukan untuk mengatakan UMNO sebagai parti perkauman, tetapi dasar perjuangan UMNO itu sendiri adalah berasaskan memperjuangkan hak-hak Melayu, ini menjadikan secara tidak langsung UMNO sebagai parti berdasarkan kaum, sama seperti MIC dan MCA.

Walaupun setiap parti politik memegang ideologi yang sama, namun ideologi utama yang diperjuangkan mereka adalah sama, iaitu menjaga kebajikan rakyat dengan lebih telus, dan menjadikan Malaysia lebih baik. Seperti yang diperkatakan sebelum ini, wujudnnya perlbagai ideologi dalam dunia politik ini ada baiknya. Dengan wujudnya perbezaan ini, akan wujudnya keseimbangan politik. Sebagai contoh, ideologi UMNO MIC dan MCA yang memperjuangkan kepentingan kaum masing-masing akan seimbang apabila ketiga-tiga parti itu bergabung (BN) untuk memperjuangkan hak kaum masing-masing.

Ideologi Rakyat Malaysia
Walaupun terdapat pelbagai ideologi politik tanahair, rakyat Malaysia harus dan wajib memegang kepada satu ideologi teras. Iaitu rukun negara. Rukun negara itu adalah penting dan perlu dipromosikan secara lebih praktikal lagi kepada rakyat Malaysia. Bukan dengan hanya nyanyain lagu rukun negara di radio, atau iklan rukun negara di television. Itu semua hanya akan dijadikan jenaka oleh rakyat. Dekatkanlah rakyat dengan rukun negara secara lebih bijaksana. Jadikanlah Rukun Negara sebagai pegangan wajib kepada rakyat Malaysia.

Review Filem: Now You See Me (2013)


Now You See Me
"Now you don't"

Anda minat filem konflik? Anda minat persembahan magis? Anda minat filem aksi? Now You See Me adalah gabungan ketiga-tiganya. Ini bukanlah filem sihir. Tetapi hanya filem silap mata biasa, dan dipersembahkan dengan gaya yang lebih hebat, dan di adunkan dengan adegan cemburu, balas dendam dan kejar mengejar. Dimulakan sama seperti filem 'Ocean Eleven', dengan kehidupan awal empat orang ahli magis. Kemudiannya dipercepatkan masa setahun selepas keempat-empat mereka bertemu dengan misi merompak wang dari bank perancis, dari akaun pemilik syarikat insuran, hinggalah wang dari peti besi besar, dengan gelaran 'The Four Horseman'

Pengarah mampu membuatkan penonton tergamam dalam beberapa babak, dan lega dalam beberapa babak. Tergamam dengan aksi-aksi magis yang ditunjukkan. Lega dengan segala penjelasan aksi magis. Ianya umpama permainan pengarah untuk buatkan penonton rasa tidak puas selagi filem ini tidak menerangkan segala trick magis, dan seterusnya membuatkan penonton tidak sedar durasi 155 minit berlalu dengan sangat pantas. 

Pengarah melonggarkan watak keempat-empat ahli magis ini, berjaya membuatkan penonton tertanya-tanya. Itu adalah seni yang akhirnya dijawab pada penghujung filem ini. Jika anda juga tertanya-tanya dengan filem ini, apa salahnya anda cuba tonton dahulu.

Wajib Tonton!
Rating: 8.5/10

Review Filem: Fast & Furious 6 (2013)


Fast & Furious 6
“All roads lead to this"

Francais ke 6 bagi siri Fast & Furious, Fast & Furious 6 membawakan pelakon-pelakon utama yang sama seperti Fast & Furios 5. FIlem ini sekali lagi dihidupkan dengan watak Brian (Paul Walker) dan Dom (Vin Diesel), yang sedang menikmati kehidupan yang hidup sebagai bersara jutawan. Ejen kerajaan Hobbs (Dwayne Johnson) sekali lagi mencari mereka, tetapi berbeza kali ini, Hobbs datang dengan membawa misi untuk mereka.

Filem ini terlalu hebat. Itu adalah kelebihan filem ini. Dan itu juga adalah kelemahan filem ini. Babak-babak aksi lasak yang membawa penonton terbuka mulut sememangnya mengkhayalkan. Namun, babak yang terlalu hebat ini membuatkan penonton akhirnya tergelak kerana kebodohan filem ini yang terlampau berkhayal.

Pengarah mempunyai beberapa kekuatan bagi filem ini. Yang pertama, beliau mempu menggabungkan kelima-lima filem sebelum ini untuk disatukan dalam sebuah filem. Ini akan menjadikan peminat siri Fast & Furious sedikit teruja dan meninggalkan perasaan emosi yang mendalam ketika babak kematian beberapa pelakonnya. Ini membuatkan penonton yang tidak pernah melihat siri-siri sebelum ini berasa tertanya-tanya.

Kedua, filem ini terlampau pantas. Babak pertama, dengan muncul flip car yang mampu menterbalikkan apa-apa sahaja kereta. Diikuti dengan babak kereta kebal. Seterunya dengan babak kejar mengejar dengan kapal terbang. Terlalu banyak adegan dan aksi yang sangat menarik sehingga membuatkan penonton ternganga luas. Ini adalah kelainan filem ini yang membuatkan filem ini unik dan berlainan dengan filem-filem lain sebelumnya, yang hanya dipenuhi dengan aksi kejar mengejar dengan kereta.

Dalam Fast & Furious pertama, yang memandu kereta adalah manusia. Yang menjadikan filem itu tergerak adalah skil-skil memandu kereta yang tersendiri.  Tetapi filem ini terus membuang segala logik akal yang ada. Ya, ianya terlalu penuh dengan imaginasi.

Must Watch
Rating: 8/10