28 April 2013

Seni Tarian: River Sutra

27 April 2013. Aku dan kawan-kawan terpanggil untuk tonton sebuah persembahan di auditorium JKKN Sabah (Jabatan Kebudayaan dan kesenian Negara) selepas terlihat sebuah poster yang menarik:

Padamulanya, kami tertanya-tanya apakah sebenarnya yang cuba untuk dipersembahkan. Mungkin itu salah satu strategi publisiti yang mereka cuba lakukan untuk membuatkan orang tertanya-tanya dan terpanggil untuk hadir. Dan bagi aku persembahan yang dilakukan adalah tidak mengecewakan. Jadi, aku akan cuba untuk menulis serba sedikit review tentang River Sutra.

Apa itu River Sutra?
River Sutra sebenarnya merupakan tajuk kepada sebuah novel yang ditulis oleh Gita Mehta (1993). Beliau cuba untuk menggabungkan tema kemasyarakatan india dan geografi dengan merujuk kepada sungai dan kawasan sekitar lembah sungai Narmada. Kisah oleh Gita Mehta ini menceritakan mengenai seorang pesara birokrat yang berinteraksi dengan pelbagai lapisan masyarakat India di kawasan sungai Narmada. Mengungkapkan mengenai keinginan, hati manusia serta nafsu.

River Sutra oleh Ramli Ibrahim
"What is 'Malaysian' is an enigma- it's neither 'only this on only that'.."

Ramli Ibrahim mengambil tema dan gaya penceritaan Gita Mehta untuk disesuaikan dengan masyarakat di Malaysia dengan mempersembahkan dengan gaya penceritaan abstrak melalui tarian pelbagai genre. Tema utama yang dipersembahkan adalah gaya hidup masyarakat yang diungkapkan melalui perspektif kesamaan dan perpaduan. Secara kesimpulan, beliau cuba untuk membawa penonton untuk mengenali satu sama lain dalam masyarakat yang berbilang kaum, melalui penceritaan salah satu kaum minoriti di Malaysia, iaitu India. Persembahan River Sutra dibahagikan kepada dua, iaitu separuh masa pertama dan separuh masa kedua.

Bagi separuh masa pertama, penceritaan yang cuba diungkapkan adalah mengenai keharmonian antara manusia dengan alam semulajadi. Seterusnya, tarian mereka menceritakan mengenai kehidupan kekeluargaan. Kasih sayang ibu kepada anak. Peranan bapa sebagai pembimbing. Generasi muda yang merupakan refleksi kepada generasi tua. Kehidupan kemasyarakatan yang bertolak ansur. Segala nilai-nilai ini boleh didapati dari koreografi-koreografi perlambangan yang ditonjolkan oleh penari-penari River Sutra. Bagi  bahagian ini, tarian-tarian dipersembahkan menggunakan 100% muzik india dengan tarian india kontemporari (digabungkan juga dengan tarian tradisional). Penceritaan nilai kemasyarakatan melalui budaya kaum minoriti di Malaysia merupakan idea genius Ramli Ibrahim bagi masyarakat berbilang kaum di Malaysia lebih mengenali satu sama lain.

Bagi bahagian kedua, persembahan-persembahan yang ditarikan lebih dekat dengan penonton dan kurang abstrak serta lebih direct (kecuali tarian pertama). Tarian pertama bagi bahagian kedua adalah penceritaan sejarah Malaysia. Menggunakan muzik latar berbahasa Jawa, Ramli Ibrahim cuba untuk membawa masyarakat memahami susah payah nenek moyang dalam membentuk negara Malaysia, bermula dari wujudnya negeri Melaka, melalui perlbagai peperangan (persembahan menggunakan prop wayang kulit hitam dan putih) sehinggalah struggle pelbagai kaum pasca kemerdekaan. Keharmonian Malaysia akhirnya tercapai pada tarian kedua yang mempersembahkan tarian dari lagu Allahyahham P. Ramlee.

Penceritaan melalui tarian merupakan suatu seni yang menarik, menjadikan penceritaan sesuatu kisah menjadi perlbagai, bergantung kepada pemahaman mereka serta persepsi mereka kepada tarian tersebut. Ramli Ibrahim yang cuba untuk membawa seni kepada masyarakat sebagai medium perpaduan negara patut dipuji dan diberi galakan.
Datuk Ramli Ibrahim



No comments: