24 April 2013

Review Filem: Oblivion (2013)




KELALAIAN (Oblivion)

"Follow us if you want to live"
Dalam Oblivion, selepas bumi diserang oleh makhluk asing dan bencana-bencana alam yang menyebabkan bumi sebagai satu kawasan yang tidak selamat untuk didiami, manusia mula meninggalkan bumi. Jack Harper (lakonan Tom Cruise) sebagai seorang juruteknik perlu memastikan setiap dron (robot pengawal) berada dalam keadaan yang baik. Dron-dron ini ditugaskan untuk mengawal bumi dari pelbagai jenis ancaman,  Sehingga suatu ketika, Jack Harper secara tidak sengaja berjumpa dengan seorang wanita yang beliau sentiasa termimpikan. Jack akhirnya sedikit demi sedikit menghurai siapakah dirinya yang sebenar dan kebenaran sebenar mengenai dunia yang didiaminya kini.

Joseph Kosinki (pengarah) sekali lagi cuba untuk memperlihatkan imaginasi beliau mengenai masa hadapan melalui filem ini. Kenderaan dan senjata canggih sungguh kreatif direalisasikan oleh beliau seperti mana filem Tron:Legacy (juga arahan beliau). 

Dari segi plot penceritaan, filem ini tidak akan mengecewakan anda walaupun terdapat sedikit cliché dengan filem-filem sci-fi lain, dan ditambah dengan peleraian konflik yang hambar. Namun beberapa twist dalam filem ini membuatkan penonton tertanya-tanya apa yang akan terjadi. Kesan CGI yang tidak begitu merujakan, selain dari reka bentuk kapal terbang dan motosikal boleh laras yang membuatkan penonton terasa untuk berangan-angan memiliki, tiada apa yang lebih menarik. Bagi babak-babak flashback, pengarah gagal menjadikannya lebih menarik dan terdapat babak flashback yang bagi aku tidak perlu untuk ditayang. Terdapat juga babak flashback yang mengelirukan penonton, semasa Jack dalam kapal terbang beliau dalam perjalanan menuju ke Tet sambil memasang recorder merah. Bagi aku plot dan grafiknya tidak dapat membuatkan penonton berasa untuk menonton untuk kali kedua di panggung.

Satu lagi kekurangan kreativiti Joseph Kosinki sebagai pengarah boleh dilihat bermula dari pembukaan dan penutup filem ini, yang hanya dipenuhi dengan naratif monoloque Jack Harper. Naratif tanpa visual yang jelas hanya membuatkan penonton merasa bosan. Untuk mereka yang tidak menyukai filem sci-fi (yang terpaksa datang ke panggung kerana dipaksa oleh teman lelaki masing-masing) tentunya akan berasa sesat, terutama dalam penggunaan terma-terma ski-fi tanpa penjelasan ringkas (melalui visual atau sekurang-kurangnya secara verbal). Manakala Morgan Freeman yang wajahnya besar terpampang di poster-poster disamping Tom Cruise, bagi aku hanya sebagai pelaku filem. Peranan beliau sepatutnya dalam plot adalah lebih besar dari apa yang difilemkan. Pengarah sepatutnya dapat menghasilkan sesuatu yang lebih berimpak besar apabila beliau menggunakan pelakon seperti Morgan, terlihat bahawa watak Morgan tidak digunakan sebaik mungkin bagi menghidupkan lagi filem ini.

Sebagai filem adaptasi novel, sekiranya aku beli dan baca novel yang ditulis, sesungguhnya aku akan sedikit kecewa dengan filem ini, sebab pengarah secara terang-terangan menghadkan imaginasi pembaca.

6.5 star out of 10.
Wajib tonton bagi peminat sci-fi.


Aku hanya orang biasa yang minat filem, bukan pakar, malahan tiada asas sedikit pun berkaitan ilmu perfileman. 
Jadi apa yang aku tulis hanyalah pandangan peribadi aku sahaja. 
Lagi pun, dalam internet penuh dengan review-review filem dari pakar-pakar filem, apa salahnya baca review dari orang biasa pula kan?

No comments: