28 April 2013

Review Filem: Iron Man 3 (2013)

Iron Man 3
'I hope i can protect the one thing that i can't live without'

Sekali lagi Iron Man muncul menyelamatkan dunia dalam Iran Man 3. Kali ini Tony Stark (Robert Downey Jr.) berhadapan dengan seorang pengganas yang digelar The Mandarin. Amerika Syarikat sekali lagi menjadi ancaman, dan Iron Man terpanggil untuk sebagai penyelamat bercampur dengan dilemmanya untuk mempertahankan orang yang disayangi oleh Tony iaitu Pepper Potts (Gwyneth Paltrow).

Selepas kemunculan Tony Stark sebagai bintang adiwira dalam Iron Man, Iron Man 2, serta Avenger, Iron Man 3 muncul sebagai peleraian kepada lagenda adiwira ini. Kekuatan filem ini dapat dirasa dari pelbagai sudut, iaitu persembahan grafik, mesej yang cuba disampaikan, serta kekuatan watak yang dimainkan oleh barisan pelakon yang hebat. Pemilihan Robert Downey sebagai Iron Man sejak dari awal lagi merupakan pelaburan terbaik bagi Marvel.

Namun, menonton Iron Man 3 umpama berada dalam Deja Vu. Plotnya mudah. Hero yang hebat dan diiktiraf sebagai ikon dunia, akhirnya jatuh di tangan penjahat, sehinggalah berlaku sesuatu yang memotivasikan beliau, dan akhirnya beliau berjaya mengalahkan penjahat. Umpama menonton Spiderman 3. Persembahan yang boleh dilakukan dalam rancangan kartun selama setengah jam. Tidak dramatik sebagai sebuah filem penutup kepada francais Iron Man. Tetapi pengarah (Shane Black) berjaya menutup serba sedikit kelemahan plot dengan mempersembahkan filem ini dengan gaya penceritaan watak primer, Tony Stark serta peleraian yang menarik serta memeranjatkan kesemua penonton. Bagi peminat tegar francais Iron Man, tentunya anda berasa sebak (macam yang aku rasa) pada babak terakhir filem ini.

Penyelitan pelbagai mesej juga berjaya menjadikan filem ini sebagai 'berisi', dengan memperkenalkan watak kanak-kanak, filem ini juga boleh dikelaskan sebagai filem untuk seisi keluarga. Persembahan koreografi yang menarik juga membuatkan penonton meniru aksi-aksi yang ditunjukkan selepas keluar dari panggung. Suntikan jenaka yang kadang-kala terlebih dos menjadikan filem ini lebih ringan dan mudah untuk diterima berbanding filem Iron Man 2. Persembahan grafik yang sangat baik dan patut diberikan tepukan yang amat gemuruh. Rekabentuk kostum Iron Man (dan Iron Patriot) yang pelbagai variasi juga adalah kreatif dan tidak hanya terikat dengan satu rekabentuk sahaja.

Secara keseluruhan, wajib tonton bagi peminat filem adiwira. Bagi yang belum menonton, jangan hampa dengan plot yang disampaikan, cuba untuk  hayati setiap babak.
8 out of 10 stars.


Aku hanya orang biasa yang minat filem, bukan pakar malahan tiada asas sedikit pun berkaitan ilmu perfileman. 
Jadi apa yang aku tulis hanyalah pandangan peribadi aku sahaja. 
Lagi pun, dalam internet penuh dengan review-review dari pakar -pakar filem, apa salahnya baca review dari orang biasa pula kan?



No comments: