28 April 2013

Seni Tarian: River Sutra

27 April 2013. Aku dan kawan-kawan terpanggil untuk tonton sebuah persembahan di auditorium JKKN Sabah (Jabatan Kebudayaan dan kesenian Negara) selepas terlihat sebuah poster yang menarik:

Padamulanya, kami tertanya-tanya apakah sebenarnya yang cuba untuk dipersembahkan. Mungkin itu salah satu strategi publisiti yang mereka cuba lakukan untuk membuatkan orang tertanya-tanya dan terpanggil untuk hadir. Dan bagi aku persembahan yang dilakukan adalah tidak mengecewakan. Jadi, aku akan cuba untuk menulis serba sedikit review tentang River Sutra.

Apa itu River Sutra?
River Sutra sebenarnya merupakan tajuk kepada sebuah novel yang ditulis oleh Gita Mehta (1993). Beliau cuba untuk menggabungkan tema kemasyarakatan india dan geografi dengan merujuk kepada sungai dan kawasan sekitar lembah sungai Narmada. Kisah oleh Gita Mehta ini menceritakan mengenai seorang pesara birokrat yang berinteraksi dengan pelbagai lapisan masyarakat India di kawasan sungai Narmada. Mengungkapkan mengenai keinginan, hati manusia serta nafsu.

River Sutra oleh Ramli Ibrahim
"What is 'Malaysian' is an enigma- it's neither 'only this on only that'.."

Ramli Ibrahim mengambil tema dan gaya penceritaan Gita Mehta untuk disesuaikan dengan masyarakat di Malaysia dengan mempersembahkan dengan gaya penceritaan abstrak melalui tarian pelbagai genre. Tema utama yang dipersembahkan adalah gaya hidup masyarakat yang diungkapkan melalui perspektif kesamaan dan perpaduan. Secara kesimpulan, beliau cuba untuk membawa penonton untuk mengenali satu sama lain dalam masyarakat yang berbilang kaum, melalui penceritaan salah satu kaum minoriti di Malaysia, iaitu India. Persembahan River Sutra dibahagikan kepada dua, iaitu separuh masa pertama dan separuh masa kedua.

Bagi separuh masa pertama, penceritaan yang cuba diungkapkan adalah mengenai keharmonian antara manusia dengan alam semulajadi. Seterusnya, tarian mereka menceritakan mengenai kehidupan kekeluargaan. Kasih sayang ibu kepada anak. Peranan bapa sebagai pembimbing. Generasi muda yang merupakan refleksi kepada generasi tua. Kehidupan kemasyarakatan yang bertolak ansur. Segala nilai-nilai ini boleh didapati dari koreografi-koreografi perlambangan yang ditonjolkan oleh penari-penari River Sutra. Bagi  bahagian ini, tarian-tarian dipersembahkan menggunakan 100% muzik india dengan tarian india kontemporari (digabungkan juga dengan tarian tradisional). Penceritaan nilai kemasyarakatan melalui budaya kaum minoriti di Malaysia merupakan idea genius Ramli Ibrahim bagi masyarakat berbilang kaum di Malaysia lebih mengenali satu sama lain.

Bagi bahagian kedua, persembahan-persembahan yang ditarikan lebih dekat dengan penonton dan kurang abstrak serta lebih direct (kecuali tarian pertama). Tarian pertama bagi bahagian kedua adalah penceritaan sejarah Malaysia. Menggunakan muzik latar berbahasa Jawa, Ramli Ibrahim cuba untuk membawa masyarakat memahami susah payah nenek moyang dalam membentuk negara Malaysia, bermula dari wujudnya negeri Melaka, melalui perlbagai peperangan (persembahan menggunakan prop wayang kulit hitam dan putih) sehinggalah struggle pelbagai kaum pasca kemerdekaan. Keharmonian Malaysia akhirnya tercapai pada tarian kedua yang mempersembahkan tarian dari lagu Allahyahham P. Ramlee.

Penceritaan melalui tarian merupakan suatu seni yang menarik, menjadikan penceritaan sesuatu kisah menjadi perlbagai, bergantung kepada pemahaman mereka serta persepsi mereka kepada tarian tersebut. Ramli Ibrahim yang cuba untuk membawa seni kepada masyarakat sebagai medium perpaduan negara patut dipuji dan diberi galakan.
Datuk Ramli Ibrahim



Review Filem: Iron Man 3 (2013)

Iron Man 3
'I hope i can protect the one thing that i can't live without'

Sekali lagi Iron Man muncul menyelamatkan dunia dalam Iran Man 3. Kali ini Tony Stark (Robert Downey Jr.) berhadapan dengan seorang pengganas yang digelar The Mandarin. Amerika Syarikat sekali lagi menjadi ancaman, dan Iron Man terpanggil untuk sebagai penyelamat bercampur dengan dilemmanya untuk mempertahankan orang yang disayangi oleh Tony iaitu Pepper Potts (Gwyneth Paltrow).

Selepas kemunculan Tony Stark sebagai bintang adiwira dalam Iron Man, Iron Man 2, serta Avenger, Iron Man 3 muncul sebagai peleraian kepada lagenda adiwira ini. Kekuatan filem ini dapat dirasa dari pelbagai sudut, iaitu persembahan grafik, mesej yang cuba disampaikan, serta kekuatan watak yang dimainkan oleh barisan pelakon yang hebat. Pemilihan Robert Downey sebagai Iron Man sejak dari awal lagi merupakan pelaburan terbaik bagi Marvel.

Namun, menonton Iron Man 3 umpama berada dalam Deja Vu. Plotnya mudah. Hero yang hebat dan diiktiraf sebagai ikon dunia, akhirnya jatuh di tangan penjahat, sehinggalah berlaku sesuatu yang memotivasikan beliau, dan akhirnya beliau berjaya mengalahkan penjahat. Umpama menonton Spiderman 3. Persembahan yang boleh dilakukan dalam rancangan kartun selama setengah jam. Tidak dramatik sebagai sebuah filem penutup kepada francais Iron Man. Tetapi pengarah (Shane Black) berjaya menutup serba sedikit kelemahan plot dengan mempersembahkan filem ini dengan gaya penceritaan watak primer, Tony Stark serta peleraian yang menarik serta memeranjatkan kesemua penonton. Bagi peminat tegar francais Iron Man, tentunya anda berasa sebak (macam yang aku rasa) pada babak terakhir filem ini.

Penyelitan pelbagai mesej juga berjaya menjadikan filem ini sebagai 'berisi', dengan memperkenalkan watak kanak-kanak, filem ini juga boleh dikelaskan sebagai filem untuk seisi keluarga. Persembahan koreografi yang menarik juga membuatkan penonton meniru aksi-aksi yang ditunjukkan selepas keluar dari panggung. Suntikan jenaka yang kadang-kala terlebih dos menjadikan filem ini lebih ringan dan mudah untuk diterima berbanding filem Iron Man 2. Persembahan grafik yang sangat baik dan patut diberikan tepukan yang amat gemuruh. Rekabentuk kostum Iron Man (dan Iron Patriot) yang pelbagai variasi juga adalah kreatif dan tidak hanya terikat dengan satu rekabentuk sahaja.

Secara keseluruhan, wajib tonton bagi peminat filem adiwira. Bagi yang belum menonton, jangan hampa dengan plot yang disampaikan, cuba untuk  hayati setiap babak.
8 out of 10 stars.


Aku hanya orang biasa yang minat filem, bukan pakar malahan tiada asas sedikit pun berkaitan ilmu perfileman. 
Jadi apa yang aku tulis hanyalah pandangan peribadi aku sahaja. 
Lagi pun, dalam internet penuh dengan review-review dari pakar -pakar filem, apa salahnya baca review dari orang biasa pula kan?



24 April 2013

Review Filem: Bunohan (2012)



Bunohan 
"Yah tak malu dengan kasih sayang kita, walau sampai jadi haiwan merangkak atas bumi"

Berlatarbelakangkan kawasan di sempadan di selatan Thai dan Malaysia; Bunohan mengisahkan kisah tragik antara tiga adik-beradik Ilham (Faizal Hussein), Bakar (Pekin Ibrahim) dan Adil @ Bunga Lalang (Zahiril Adzim) di samping bapanya yang uzur, Pok Eng (Wan Hanafi Su). Adil pelarian peninju Tomoi yang menjadi buruan penganjur tinju haram kerana Adil lari dari pertandingan oleh sebab hampir tewas. Ilham seorang pembunuh upahan diupah oleh bos penganjur tinju haram Siam. Bakar asalnya seorang guru, yang berniat untuk memilik tanah ayahnya seluas 30 ekar di tepi pantai. Kepulangan tiga orang adik-beradik itu akhirnya menimbulkan segala macam memori sedih sewaktu tinggal di Bunohan. 
Baca sinopsis penuh di laman web Bunohan.

Sebuah persembahan filem abstrak yang menaikkan elemen-elemen kehidupan, kekeluargaan dan tamak haloba dalam set kehidupan melayu kelantan. Filem ini mampu membuatkan penonton terbuai dengan persoalan-persoalan yang pelbagai sambil menonton. Bagi penonton yang mendahagakan aksi-aksi lasak, tumbuk-menumbuk atau tembak menembak, filem ini adalah tidak sesuai untuk anda. Namun, gaya lasak yang minima (walaupun terdapat aksi bunuh membunuh) telah menyelamatkan filem ini dari lebih memberatkan penonton. Plot dan konflik yang diselang-selikan dengan pelbagai perlambangan telah menyesakkan dada penonton. 

Pengarah (Dain Said) berjaya menonjolkan kreativiti beliau dengan membiarkan penonton sendiri berinteraksi dengan fikiran mereka untuk memahami sendiri pelbagai perlambangan-perlambangan berat yang disampaikan. Terdapat sedikit elemen-elemen mistik diselitkan secara ringan, sesuai dengan kehidupan melayu sendiri yang dikelilingi oleh pelbagai elemen mistik. Unsur-unsur kemelayuan juga ditonjolkan dengan senjata yang digunakan oleh Ilham untuk membunuh, iaitu menggunakan taji. Satu perkara yang aku sangat kagum adalah pengarah fotografi, Charin Pengpanich yang bagi aku berjaya meninggalkan kesan kepada filem melayu. Pada bahagian skrip pula tidak begitu mantap, terdapat beberapa perkataan yang tidak sesuai, kaku dan janggal didengar, walaupun hampir 100% diolog yang diucapkan adalah behasa melayu berdialek kelantan yang agak mustahil untuk faham keseluruhan skrip tanpa subtitle bagi mereka yang bukan berasal dari komuniti kelantan. Lakonan barisan pelakon yang hebat juga lebih menghidupkan dan membuatkan penonton berasa lebih selesa (tidak rasa dibuat-buat) untuk bersantai mendengar penuturan dialek mereka. 

7 star out of 10


Beberapa fakta dari PerangFilem:
  • Bunohan dihasilkan oleh syarikat perfileman Apparat yang dimiliki oleh Dain Said sendiri dan diwakili di peringkat antarabangsa oleh Easternlight Films.
  • Bunohan diambil dari nama sebuah kampung di sempadan Thailand dekat Kelantan (Tumpat), sempadan wilayah Narathiwat Thailand. Dikenali dgn nama “tanah jahat”. Berlaku banyak pertelingkahan rakyat Thailand yang menyebabkan pembunuhan. 
  • Ada berpendapat dulunya di zaman Jepun berlaku banyak pembunuh, jadi nama singkatan Bunohan. > Terdapat pepatah mengenai kampung Bunohan “menghina seseorang dari kampung Bunohan adalah sama seperti menghina penduduk sekampung”. 
  • Kampung tersebut juga merupakan tempat asal ritual pemulihan tradisional yang dikenali sebagai “Main Puteri”, sebuah upacara yang dilangsungkan untuk mengusir roh-roh yang dipercayai sebagai punca penyakit psikologi.

Aku hanya orang biasa yang minat filem, bukan pakar malahan tiada asas sedikit pun berkaitan ilmu perfileman. 
Jadi apa yang aku tulis hanyalah pandangan peribadi aku sahaja. 
Lagi pun, dalam internet penuh dengan review-review dari pakar -pakar filem, apa salahnya baca review dari orang biasa pula kan?

Review Filem: Oblivion (2013)




KELALAIAN (Oblivion)

"Follow us if you want to live"
Dalam Oblivion, selepas bumi diserang oleh makhluk asing dan bencana-bencana alam yang menyebabkan bumi sebagai satu kawasan yang tidak selamat untuk didiami, manusia mula meninggalkan bumi. Jack Harper (lakonan Tom Cruise) sebagai seorang juruteknik perlu memastikan setiap dron (robot pengawal) berada dalam keadaan yang baik. Dron-dron ini ditugaskan untuk mengawal bumi dari pelbagai jenis ancaman,  Sehingga suatu ketika, Jack Harper secara tidak sengaja berjumpa dengan seorang wanita yang beliau sentiasa termimpikan. Jack akhirnya sedikit demi sedikit menghurai siapakah dirinya yang sebenar dan kebenaran sebenar mengenai dunia yang didiaminya kini.

Joseph Kosinki (pengarah) sekali lagi cuba untuk memperlihatkan imaginasi beliau mengenai masa hadapan melalui filem ini. Kenderaan dan senjata canggih sungguh kreatif direalisasikan oleh beliau seperti mana filem Tron:Legacy (juga arahan beliau). 

Dari segi plot penceritaan, filem ini tidak akan mengecewakan anda walaupun terdapat sedikit cliché dengan filem-filem sci-fi lain, dan ditambah dengan peleraian konflik yang hambar. Namun beberapa twist dalam filem ini membuatkan penonton tertanya-tanya apa yang akan terjadi. Kesan CGI yang tidak begitu merujakan, selain dari reka bentuk kapal terbang dan motosikal boleh laras yang membuatkan penonton terasa untuk berangan-angan memiliki, tiada apa yang lebih menarik. Bagi babak-babak flashback, pengarah gagal menjadikannya lebih menarik dan terdapat babak flashback yang bagi aku tidak perlu untuk ditayang. Terdapat juga babak flashback yang mengelirukan penonton, semasa Jack dalam kapal terbang beliau dalam perjalanan menuju ke Tet sambil memasang recorder merah. Bagi aku plot dan grafiknya tidak dapat membuatkan penonton berasa untuk menonton untuk kali kedua di panggung.

Satu lagi kekurangan kreativiti Joseph Kosinki sebagai pengarah boleh dilihat bermula dari pembukaan dan penutup filem ini, yang hanya dipenuhi dengan naratif monoloque Jack Harper. Naratif tanpa visual yang jelas hanya membuatkan penonton merasa bosan. Untuk mereka yang tidak menyukai filem sci-fi (yang terpaksa datang ke panggung kerana dipaksa oleh teman lelaki masing-masing) tentunya akan berasa sesat, terutama dalam penggunaan terma-terma ski-fi tanpa penjelasan ringkas (melalui visual atau sekurang-kurangnya secara verbal). Manakala Morgan Freeman yang wajahnya besar terpampang di poster-poster disamping Tom Cruise, bagi aku hanya sebagai pelaku filem. Peranan beliau sepatutnya dalam plot adalah lebih besar dari apa yang difilemkan. Pengarah sepatutnya dapat menghasilkan sesuatu yang lebih berimpak besar apabila beliau menggunakan pelakon seperti Morgan, terlihat bahawa watak Morgan tidak digunakan sebaik mungkin bagi menghidupkan lagi filem ini.

Sebagai filem adaptasi novel, sekiranya aku beli dan baca novel yang ditulis, sesungguhnya aku akan sedikit kecewa dengan filem ini, sebab pengarah secara terang-terangan menghadkan imaginasi pembaca.

6.5 star out of 10.
Wajib tonton bagi peminat sci-fi.


Aku hanya orang biasa yang minat filem, bukan pakar, malahan tiada asas sedikit pun berkaitan ilmu perfileman. 
Jadi apa yang aku tulis hanyalah pandangan peribadi aku sahaja. 
Lagi pun, dalam internet penuh dengan review-review filem dari pakar-pakar filem, apa salahnya baca review dari orang biasa pula kan?