29 December 2013

Dilemma Mahasiswa

Baru-baru ini, kecoh di media mengenai gerakan TURUN yang di ketuai oleh mahasiswa, Nor Azan Safar. Kemudian keluarlah beberapa mahasiswa yang mempertahankan TURUN, seperti Nor Azhar Baharum Exco Perhubungan Awam, majlis Perwakilan Pelajar UIAM. Kemudian, Persatuan Pelajar UM pula mengeluarkan resolusi kepada kerajaan berkenaan penurunan kadar GST kepada 5% daripada 6% selepas persidangan meja bulat bersama Pengarah Cukai Dalaman Pengarah Kastam Diraja, Bahagian Analisa Cukai Kementerian Malaysia dan Persatuan Belia Malaysia. Bukan itu sahaja usaha-usaha Mahasiswa yang cuba untuk melindungi hak rakyat, banyak lagi usaha-usaha yang lebih kepada bersifat dalaman. Saya bukan hendak menulis berkenaan TURUN, atau GST, atau mengenai kehebatan kepimpinan Datuk Seri Najib. Apa yang saya ingin kisahkan adalah berkenaan kuasa mahasiswa dalam memperjuangkan hak rakyat.

Dalam kabut semakin ramai Mahasiswa yang tampil kehadapan bersuara demi rakyat, masih lagi ramai yang kebelakang, kecut, sambil membaca berita portal. Sekurang-kurangnya ada juga yang membaca berita dan mengambil tahu kisah-kisah semasa, bagaimana pula dengan yang hanya tahu memegang buku kuliah sahaja? Bukanlah saya ingin mengutuk mereka yang hanya fikir untuk mengejar 'Kelas Pertama', tetapi haruslah diingat bahawa darjah kelas pertama tidak menjanjikan pemikiran kelas pertama. Sesungguhnya seorang Mahasiswa yang perihatin akan berada dalam dilemma antara tanggungjawab sosial atau tanggungjawab peribadi.

Mari kita renung sebentar Falsafah Pendidikan Negara. Bacalah, fikirlah dan hayati:
"Pendidikan di Malaysia adalah satu usaha berterusan ke arah memperkembangankan lagi potensi individu secara menyeluruh dan bersepadu untuk mewujudkan insan yang seimbang dan harmonis dari segi intelek, rohani, emosi, dan jasmani berdasarkan kepada kepercayaan dan kepatuhan kepada Tuhan. Usaha ini adalah bagi melahirkan rakyat Malaysia yang berilmu, bertanggungjawab dan berkeupayaan mencapai kesejahteraan diri serta memberi sumbangan terhadap keharmonian dan kemakmuran masyarakat dan negara."

Pendidikan bukan sahaja berkenaan memenuhi kehendak intelek peribadi semata-mata. Jika itu sahaja yang dikejar oleh mahasiswa, maka gagallah dia dalam mengejar ilmu. Mahasiswa seharusnya diingat bahawa mereka dipandang tinggi disisi masyarakat. Kerana mahasiswa merupakan generasi seterusnya yang akan membangunkan Malaysia, menjadi tali penghubung kepada kelangsungan Malaysia kini dan masa akan datang. Jadi, jika isu-isu semasa negara tidak diendahkan, adakah masyarakat berani untuk meletakkan tanggungjawab membangunkan negara ke atas bahu Mahasiswa?

Siapakah lagi yang berani memperjuangkan masalah Masyarakat? Adakah 100% kita perlu harapkan kepada ahli politik semata-mata? Janganlah mudah percaya dengan semua laporan menyedapkan hati dan memaniskan mulut, Malaysia semakin maju? Pendidikan negara semakin berkembang? Semakin ramai pelabur masuk ke Malaysia? Taraf pendapatan negara semakin meningkat? Jangan jadi bodoh. Jangan jadi sombong! Bangunlah, berjalanlah di lorong-lorong, di kampung-kampung, di sekolah-sekolah, bukalah mata, masih ramai lagi rakyat kita yang mundur, masih ramai lagi rakyat kita yang makan sambil air mata berlinangan, masih ramai lagi yang tidak bersekolah. Siapakah lagi yang rapat dengan masyarakat kalau bukan Mahasiswa? Siapakah lagi yang kenal masyarakat kalau bukan Mahasiswa?

Mahasiswa, tidak perlu tanya siapa yang berjuang demi rakyat,
tanyalah diri sendiri, apakah sumbangan anda untuk rakyat.

16 December 2013

Malaysia di Era AEC

Hanya tinggal lagi 15 hari untuk kita melangkah ke tahun baharu, 2014. Satu lagi tahun yang dikatakan semakin mencabar terutamanya bagi masyarakat Malaysia yang sedang berusaha untuk memahami segala dasar penstrukturan subsidi negara. Dalam dendangan orang-orang parlimen dengan pelbagai isu, ramai yang masih tidak mengetahui berkaitan ASEAN Economic Community (AEC).

ASEAN Economic Community dikatakan merupakan salah satu hala tuju ASEAN. Melalui AEC, satu kawasan integrasi ekonomi serantau akan diwujudkan diantara negara-negara ahli AEC. Kemunculan AEC menunjukkan ASEAN akan semakin menjadi seperti EU (Kesatuan Eropah). Dahulu Kesatuan Ekonomi Eropah (EEC), kemudian mengintegrasi menjadi Komuniti Eropah (EC), dan seterusnya berintegrasi dengan lebih erat lagi sebagai EU. Adakah ASEAN menuju ke arah AU (Asean Union)?

Berdasarkan pelan tindakan yang dipersetujui, menjelang tahun 2015, AEC akan menjadi tunjang dalam integrasi ekonomi serantau. Berikut merupakan kunci jangkaan AEC:
1. Pasaran tunggal dan tapak pengeluaran.
2. Wilayah ekonomi yang kompetitif.
3. Rantau pembangunan ekonomi yang saksama,
4. Rantau bersepadu sepenuhnya dalam ekonomi global.

Dikatakan setelah AEC terimplementasi secara sepenuhnya, akan wujud sebuah rantau yang bebas pergerakan keluar masuk barangan dan servis, tenaga buruh, dan aliran modal yang lebih bebas diantara negara-negara ahli. Jadi, dalam kata mudah AEC akan mewujudkan sebuah rantau dengan kuasa ekonomi yang besar, berdasarkan bilangan kuasa pengguna yang tinggi dan modal yang lebih besar berdasarkan aliran modal yang bebas. 

Ini adalah regionalism. Regionalism adalah satu idea untuk menyatukan beberapa negara serantau bagi mewujudkan satu kerjasama berdasarkan kepentingan yang sama, contohnya kerjasama ekonomi. Idea seumpama ini dikatakan berupaya mengekang gelombang globalisasi iaitu tidak membuka sempadan ekonomi sesebuah negara kepada dunia lepas, dan dapat membentuk kerjasama erat di antara negara anggota dalam menghadapi ancaman ekonomi global. Tetapi tidak boleh dinafikan regionalism mendedahkan ekonomi negara-negara anggota kepada persaingan yang hebat di antara mereka sendiri. Inilah yang perlu dikaji sedalam-dalamnya oleh negara, dan rakyat perlu bersiap sedia dalam menghadai era AEC terutamanya mereka yang terlibat dalam sektor swasta.

Ya, dengan penyertaan Malaysia dalam AEC, akan ada sektor dalam negara yang bakal mengaut untung besar, tetapi ada juga yang bakal tersungkur. Sektor korporat, pemodal asing (FDI), dan syarikat multi-nasional (MNE/MNC) dalam Malaysia mungkin meraih keuntungan besar hasil daripada status ASEAN sebagai pengeluar dan pasaran tunggal. Tetapi bagaimana pula dengan sektor SMI/SME yang dimiliki oleh rakyat tempatan? Mampukah sektor ini mengekang persaingan? 

Melalui ciri-ciri AEC yang kelihatan menyerupai Kesatuan Eropah (EU), adalah tidak terlari jauh sekiranya AEC dan EU dibandingkan. Di kalangan 28 negara anggota EU wujud kebebasan pergerakan barangan dan servis, tiada sekatan pengaliran pelaburan dan modal, dan yang paling memberikan kesan langsung kepada rakyat kebanyakan ialah kebebasan pergerakan tenaga kerja.

Pada hari ini, belum pun dibuka sekatan dengan sepenuhnya, sudah banyak buruh asing menghuni negara. Apakah Malaysia akan menerima lambakan pekerja asing (sama ada buruh mahir, separa mahir atau tidak mahir) sehingga menyekat peluang pekerjaan untuk warganegara sendiri? Sekiranya perkara tersebut berlaku ia pasti akan mengimpak kepada masalah sosial, ekonomi, keselamatan insan (human security) dan kedaulatan negara. Paling buruk adalah masalah imigran yang sentiasa menjadi masalah utama negara. Adakah kita sudah bersiap sedia dengan kebarangkalian tersebut? Keadaan tersebut telah pun berlaku di United Kingdom (UK). Perdana Menteri Britain, David Cameron mencadangkan agar imigran dari negara anggota yang miskin dalam EU disekat daripada berhijrah ke UK.

Selanjutnya, walaupun sekatan dalam bentuk tariff sedia dikurangkan kini bagi barangan buatan negara ASEAN, tetapi barangan dan perkhidmatan berterusan naik harga di negara ini. Apa jaminan terhadap kestabilan harga apabila pergerakan barangan dan perkhidmatan sangat mudah masuk dan keluar? Adakah akan wujud istilah mampu milik dalam sektor hartanah negara apabila pelaburan dan modal mudah masuk dan keluar? Adakah pada waktu itu pemerintah akan mencadangkan warganya membeli hartanah di negara lain kerana hartanah di dalam negara sendiri hanya mampu dibeli oleh warga asing? Juga, apa jaminan syarikat milik negara (GLC) tidak diambil alih oleh syarikat gergasi daripada negara anggota yang lain? Apa jaminan Malaysia tidak akan muflis seperti Greece yang menganggotai EU? Akhir sekali, apa jaminan warga Malaysia tidak akan menjadi imigran di negara anggota yang lain?

Sehingga kini, EU tidak sepenuhnya terintegrasi. Ada pihak yang skeptik dengan EU sebagaimana UK yang terus mengguna pakai matawang Pound Sterling. Ditakuti Jerman menguasai Eropah secara total. Demikian juga dengan kemasukan Turki sebagai anggota EU. Kepesatan ekonomi Turki dan keremajaan populasi membolehkannya menguasai EU yang sedang dalam proses penuaan daripada sudut demografi penduduk. Kemasukan Turki ke dalam EU dan dengan AKP (parti yang dipimpin Erdogan) yang masih berkuasa dikhuatiri akan menyebabkan berlakunya "the Ottomanization of Europe".

Ukraine berminat untuk terus bersama Russia membentuk EAU (Eurasian Union). Presiden Putin mengesyorkan sebuah organisasi serantau yang merangkumi kebanyakannya negara bekas Kesatuan Soviet. Sekiranya menjadi realiti, boleh dijangkakan akan berlakunya satu lagi gelombang "the Russification of Eurasia" selepas era Empayar Russia dan era Soviet.
Justeru, apakah tidak mustahil akan berlakunya "the Singaporization of South East Asia" sekiranya EAC mengambil tempat? Atau mungkin "the Indonesianization of South East Asia"? Mungkin tidak disedari di Malaysia, tetapi dunia sedang memerhatikan Indonesia sama ada dengan penuh minat. Mendiang Huntington juga pernah mengatakan sekiranya berlaku perang dunia ketiga Indonesia akan muncul sebagai kuasa besar dunia.

Selepas 1997, Indonesia bukan hanya mengalami reformasi politik, bahkan ekonomi. Negara jiran yang dulu pernah menjadi pembekal utama buruh domestik di Malaysia kini sudah menjadi ekonomi yang bertenaga. Maka, di manakah Malaysia dalam ruang lingkup AEC?

Sekiranya AEC adalah suatu ketentuan, maka pasti ramai mengimpikan Malaysia di era AEC sebagai peneraju ekonomi dan politik ASEAN. Sebagai negara berpendapatan paling tinggi di ASEAN maka sewajarnya pada waktu itu tiada tol yang menyekat pergerakan kenderaan di lebuh raya, harga barang dan perkhidmatan yang rendah berikutan lambakan produk negara jiran. SMI dan SME yang berdaya maju kerana dapat mengeksploit tenaga buruh, sumber asli dan sumber sekunder murah dari negara jiran. SMI dan SME yang berjaya menjadi gergasi kerana mudah meneroka pasaran ASEAN. Syarikat Malaysia mampu mengambil alih syarikat negara-negara ASEAN lain, dan warga Malaysia yang bukan hanya mampu memiliki hartanah di negara sendiri bahkan di mana-mana lokasi dalam Asean.

Tetapi, sebelum mimpi jadi realiti, rakyat berhak tahu, di era media sosial tindakan negara yang gemar berahsia bukanlah tindakan bijak. Perbuatan menyorok butiran seperti perjanjian Kerjasama Trans-Pasifik (TPPA) hanya mengundang emosi.

Forum, debat, perbincangan dan sebagainya perlu diadakan supaya mata dan minda rakyat dibuka seluasnya, supaya rakyat dapat bersedia dengan secukupnya bagi menghadapi era AEC. Cukuplah membuat dendangan sumbang di media-media berkaitan perkara yang tidak membawa kepada perkembangan Malaysia.

12 September 2013

Bendera Rakyat vs Jalur Gemilang

Seperti biasa, aku terlambat sedikit dalam menjelaskan isu-isu terkini disebabkan aku sibuk menguruskan hal-hal lain. Tapi itu tak menghalang untuk aku berkongsi ilmu. Berkenaan masalah sang saka malaya yang dikibarkan di Dataran Merdeka sempena kemerdekaan negara. Mari kita buka mata dan belajar sejarah. Mari kita kembali ke tahun-tahun para dewa dewi di nusantara sewaktu Islam belum lagi menjejakkan kaki ke Nusantara. 

1. Menurut mitos Nusantara, nenek moyang kita benar-benar menghormati matahari dan bulan dan terdapat dalam ajaran Surya Candra (Matahari Bulan). Matahari dilambangkan dengan merah, manakala putih dilambangkan sebagai bulan. Penghormatan terhadap Surya Candra ini tersimpan kemas dalam kisah-kisah dari Sulawesi iaitu Hikayat Dewi Kelinci dan Dewi Manimporok.

2. Merah dan Putih juga digambarkan sebagai Darah dan Getah iaitu perlambangan kepada Manusia dan Tumbuhan, iaitu dia entiti alam yang saling memerlukan

3. Sekitar tahun 2000 S.M. di Tunggurwangi (Pagaralam) Sumatera Selatan ada gambaran seorang pahlawan di sebelah seekor binatang Sakti dengan menggapit tanda merah putih. 

4. Dalam kitab Sejarah Melayu atau Sulatussalatin (abad ke 7) karangan Sri Lanang, diceritakan bahwa ketika Sri Tri Buana hendak meninggalkan kaki bukit Seguntang berdekatan dengan kota Palembang pergi berlayar menuju Minangkabau memakai payung besar bertongkat merah dan tunggul panji-panji awan berarak (putih) bererti pada zaman Sriwijaya warna merah dan putih sudah di hormati. 

5. Pada abad ke-9 yaitu pada zaman pembangunan candi Borobudur pada kaki candi Borobudur yang kini tertimbun di dalam tanah terdapat pahatan lambang warna yang melambai, masing-masing terdiri dari dua helai di atas lambang itu tertulis ”pataka” dalam huruf Jawa kuno yang mungkin berwarna merah putih, karena di Jawa Tengah lazim dikenal warna Gula Kelapa (Merah Putih).

6. Pada tahun 1292 pasukan Jayakatwang dari Kediri yang menyerang Singhasari juga mengibarkan bendera berwarna merah putih. 

7. Pada zaman Majapahit, tatkala kembalinya temtara Pamalayu ke Majapahit bersama dua Putri bernama Dara Jingga (merah) dan Dara Perak (putih). 

8. Istana Hayamwuruk di Trowulan, berdinding merah dan berlantai putih. 

9. Zaman Mataram (Islam) 1575-1750, terkenal Bendera bercorak gula kelapa.

10. Istana Surakarta tersimpan sebuah panji berasal dari peninggalan Kyai Ageng Tarub (seorang keturunan Brawijaya) yang memakai dasar putih bertuliskan huruf Arab berwarna merah. 

Bendera Majapahit: Dikenali sebagai Umbul-umbul/Dwaja/Pataka
Tahun: 1293 - 1800
Berdasarkan beberapa poin di atas, boleh kita lihat bahawa Nusantara mempunyai sejarah yang panjang dengan bendera Merah Putih. Merah putih bukan sahaja sebagai lambang negara malah digunakan sebagai ritual keagamaan sehinggalah menjadi panji-panji perang. Merah Putih sukar untuk dipisahkan dengan jiwa penduduk Nusantara. Dapat dilihat bahawa majapahit telah menggunakan bendera berjalur-jalur merah putih sebagai bendera rasmi.

Sehingga akhir abad ke-16, Syarikat Hindia Timur Inggeris (EIC) dan Syarikat Hindia Timur Belanda (VOC) melebarkan pengaruh mereka untuk menguasai perdagangan rempah di Nusantara, kerajaan-kerajaan di Nusantara terjejas. Kedatangan British ke Nusantara telah meresap pengaruh bendera majapahit di dalam bendera EIC dengan menerapkan elemen-elemen jalur merah putih dan di masukkan sekali bendera kerajaan England.

Bendera Syarikat Hindia Timur British
Tahun 1685 (Memasukkan George Cross bagi mewakili kerajaan England)
Bendera Syarikat Hindia Timur British
Tahun 1707 (Selepas pembentukan Kingdom of the Great Britain, memasukkan bendera Union Flag)
Bendera Syarikat Hindia Timur British
Tahun 1801 (Memasukkan bendera Union Flag of Great Britain and Ireland)
Bendera Syarikat Hindia Timur Inggeris ini juga kemudiannya di implementasikan dalam membentuk bendera Amerika Syarikat sebelum diubahsuai dengan menggantikan bendera Britain dengan bintang putih berlatar biru.
Bendera Amerika Syarikat: The Star and Stripes
Tahun 1777 dan diubahsuai pada tahun 1960
Sehingga pada pertengahan abad ke-19, gerakan-gerakan nasionalis mula mengambil tempat dinusantara dan gerakan ini mula menuntu kemerdekaan dengan pelbagai cara temasuklah melalui kekerasan dan juga diplomasi. Maka semangat merah putih sekali lagi meresap ke dalam gerakan nasionalis ini dan menjadikan ikon merah putih sebagai semangat dan kesucian perjuangan mereka.

Pada tahun 1928, bendera merah putih diterima dalam Sumpah Pemuda dan pada tahun 1945 Sang Saka Bangsa Diterima sebagai bendera Republik Indonesia
Bendera Republi Indonesia: Sang Saka Merah Putih
Tahun 1945
Pada tahun 1946, Persidangan UMNO ke-2 yang diadakan di Ipoh Perak telah membincangkan bendera yang perlu digunakan oleh UMNO. Terdapat beberapa cadangan dan dua cadangan terbesar adalah dari Ikatan Setia Kampung Baru, Kuala Lumpur dan Parti Kebangsaan Melayu Malaya. Namun Cadangan dari PKMM kalah dengan beberapa undian sahaja dan bendera cadangan Ikatan Setia Kampung Baru dipilih sebagai bendera UMNO dengan nama bendera Sang Saka Bangsa

Bendera UMNO: Sang Saka Bangsa
Tahun 1946 (Cadangan oleh Ikatan Setia Kampung Bahru)

Pada waktu Tanah Melayu sedang sibuk menuntuk kemerdekaan, Parti Kebangsaan Melayu Malaya muncul dengan bendera mereka yang dikenali dengan Sang Saka Malaya atau Bendera Rakyat atau Bendera Malaya Merdeka. Bendera ini telah digunakan secara rasmi bagi mewakilkan Tanah Melayu dalam para perwakilan Malaya di Sidang Serantau Asia (Asian Relations Conference) pada penghujung tahun 1947 di New Delhi, India. Sekaligus Bendera Sang Saka Malaya ini telah menjadi bendera rasmi bagi ketika itu. Rekaan bendera ini seterusnya dihantar oleh PUTERA-AMCJA bagi bendera Persekutuan Tanah Melayu yang merdeka. Dua belas butir bintang tersebut adalah mewakili 12 negeri-negeri di semenanjung Tanah Melayu iaitu Negeri Sembilan, Selangor, Perlis, Terengganu, Kedah, Kelantan, Pahang, Johor, Perak, Singapura, Melaka dan Pulau Pinang.

Bendera PKMM: Sang Saka Malaya/Bendera Rakyat/Bendera Malaya Merdeka
Tahun 1947
Malangnya pada tahun 1950, bendera Sang Saka Malaya tidak terpilih sebagai bendera Persekutuan Tanah Melayu, sebaliknya bendera rekaan Mohamad Hamzah dari Johor dipilih. Dan kemudiannya diubahsuai pada tahun 1963, dan namanya ditukar kepada Jalur Gemilang pada tahun 1997. Bendera ini dikatakan mengambil elemen-elemen jalur merah putih dari bendera Syarikat Hindia TImur Inggeris.

Bendera Malaysia: Jalur Gemilang
Tahun 1950 dan diubahsuai pada tahun 1963.
Sang Saka Malaya (2007) pula merujuk kepada bendera rekaan pemimpin Angkatan Muda Keadilan (AMK) Mohd Najwan Halimi. Bendera ini telah dibawa oleh penyokong Himpunan Janji Demokrasi dengan rekabentuk bendera merah putih bersama bulan dan bintang 11 bucu. Terdapat gerakan yang menggesa supaya bendera Jalur Gemilang Digantikan dengan Bendera Sang Saka Melaya.
Sang Saka Malaya
Tahun 2007
Bendera Identiti dan Lambang Negara
Bendera memainkan peranan penting dalam menjadi identiti dan lambang kepada negara, seterusnya menjadi simbol kepada bangsa. Malaysia telah melalui pelbagai detik-detik sejarah sebelum kemerdekaan negara dicapai, sehingga darah keringat dan airmata tidak tertadah. Sungguhpun bendera Jalur Gemilang dikatakan meniru elemen-elemen dari Bendera Syarikat Hindia Timur Inggeris, janganlah kita lupa sejarah bahawa bendera Syarikat Hindia Timur Inggeris juga mengambil elemen dari bendera Majapahit, saudara kerajaan nusantara kita.

Walaupun Sang Saka Malaya tidak terpilih sebagai bendera Malaysia, semangat merah putih didalam sang saka malaya tetap terus utuh di dalam jalur gemilang. Dua bendera berbeza, tetapi membawa semangat yang sama. Semangat kemerdekaan, semangat perjuangan berkurun-kurun lamanya dari zaman dewa dewi nusantara sehinggalah zaman moden kini. Semangat kemerdekaan dan perjuang itu tetap utuh tersimpan dan tersemat kemas dalam warna merah putih yang kini tersulam indah mewakili Malaysia. Bahkan bukan sahaja Malaysia, Indonesia, Thailand, Singapura, dan Filipina juga tidak terkecuali mahu mengabadikan perjuangan nenek moyang mereka di dalam bendera merah putih.

Cukuplah, hentikanlah gerakan-gerakan dalam mengubah identiti negara tanpa mengambil kira sejarah negara. Kerajaan Malaysia juga sepatutnya janganlah menutup mata rakyat dengan menggelapkan sejarah Sang Saka Malaya yang sama-sama menuntuk kemerdekaan dengan Sang Saka Bangsa walau berlainan medium dan ideologi, tetapi dengan semangat Sang Saka Malaya dan Sang Saka Bangsa inilah, Jalur Gemilang dapat dikibarkan.

Kibarkan dan banggalah dengan Jalur Gemilang.
Selamat Hari Malaysia

p/s: Sebarang kesalahan fakta diminta untuk maklumkan secepat mungkin supaya dapat dibaiki. Terima Kasih

20sen Seliter.

*artikel ini ditulis pada 6 September 2013*

Mungkin aku sedikit lambat, tapi bila bercakap tentang perkongsian ilmu, tiada apa yang lambat. Sudah masuk hari ke tiga berita kenaikan harga harga petrol RON 95 dan Diesel, dan berita ini semakin hari semakin sejuk, kecuali jika ada pihak yang sentiasa memainkan isu ini. Penulisan aku ini bukan untuk mengencam kenaikan harga petrol yang diumumkan oleh PM kita, tapi aku akan cuba mengeluarkan hujah-hujah untuk anda fikirkan.

Subsidi Kerajaan
Terdapat enam jenis barangan yang dikenakan subsidi oleh kerajaan iaitu Petrol RON 95, Bahanapi Diesel, Gas Petroleum Cecair (LPG), Tepung Gandum Kegunaan Am, Gula, dan Minyak Masak. 


Harga Petroleum Semasa
Untuk mengetahui kadai harga petroleum semasa, dua tanda aras harga minyak perlu dinilai iaitu WTI (West Texas Intermediate) Crude Oil dan Brent Crude Oil.

 

Pengurangan Subsidi: Rasionalisasi atau Bebanan
PM menyatakan kenaikan harga petrol adalah untuk mengelakkan masalah kepada kedudukan kewangan negara. Kata PM: "Ini mungkin akan jadi bebanan sikit kepada rakyat, tetapi kalau kedudukan kewangan (negara) keseluruhan terjejas, ia akan merosakkan seluruh negara." Untuk analisis hal ini, aku akan bahagikan hujah ini kepada dua, pro dan kontra, baik dan buruk, rasionalisasi dan bebanan.


Pro: Rasionalisasi
1. Penstrukturan Semula Subsidi Petrol
Pengarah Eksekutif Institut Pembangunan Sosio-Ekonomi dan Penyelidikan (SEDAR) Ivanpal S.Grewal berkata ia adalah langkah paling tepat ke arah menstruktur semula kaedah yang digunakan dalam memberikan subsidi. Kata beliau: "Kaedah pemberian subsidi sekarang ini tidak kena pada tempat, tidak cekap dan membazir. Tujuan sebenar pemberian subsidi ini adalah untuk membantu golongan tidak berkemampuan. Apa yang penting adalah pengurusan lebih baik subsidi dan perlu lebih fokus dalam membantu mereka yang memerlukan,"

Pada 2007, kerajaan membelanjakan RM40.1 bilion dalam subsidi untuk mengawal harga. Pada 2009, lebih kurang 22 peratus perbelanjaan kerajaan adalah pada subsidi, dengan subsidi petrol sahaja mewakili 12 peratus daripada jumlah itu. Dan bagi peruntukan subsidi berjumlah RM30 bilion pada tahun ini, subsidi bahan bakar sahaja berjumlah RM24 billion, komponen terbesar dalam peruntukan berkenaan.

2. Harga Minyak Semasa dan  Ramalan Kenaikan Harga Minyak.
Nilai minyak berdasarkan WTI dan Brent memperlihatkan peningkatan nilai sebanyak 1.05% dan 0.30%. Walaupun nilai ini bukanlah nilai yang tertinggi pernah diumumkan dan peningkatan yang dinyatakan adalah sangat sedikit dan hampir mendatar, peningkatan ini tetap memberikan tekanan dalam pengeluaran dana negara untuk menanggung subsidi petrol. 

Ramalan setahun pula memperlihatkan kenaikan harga minyak kepada $124 setong pada tahun hadapan tanpa mengira faktor-faktor geopolitik semasa. Peramal harga minyak meramalkan krisis di Syria dan Mesir akan menyebabkan harga minyak akan terus meningkat. Ditambah pula dengan Amerika Syarikat yang berkemungkinan mengisytiharkan perang dengan Syria, sekiranya ini direalisasikan oleh AS, harga minyak semasa akan dilihat terus meningkat. Jadi pengumuman pengurangan subsidi ini adalah bertepatan dengan masanya bagi menghadapi krisis timur tengah yang dilihat semakin meruncing dan menyebabkan kenaikan harga minyak semasa.

Kontra: Bebanan Rakyat
1. Melindungi korporat
Manakala menurut Rafizi Ramli, kenaikan harga minyak akan menjimatkan subsidi minyak tahunan sebanyak RM3.3 bilion dalam tahun 2014 ke atas. Beliau juga mengumumkan bahawa anggaran jumlah subsidi yang ditanggung tahun depan (berikutan kenaikan harga minyak ini) adalah RM24.8 bilion. Setiap tahun, anggaran jumlah penggunaan petrol dan diesel adalah sebanyak 10 bilion liter (petrol) dan 6.5 bilion liter (diesel) . Pada kadar subsidi sebanyak 83 sen bagi seliter petrol dan RM1 bagi seliter diesel, jumlah subsidi petrol dan diesel adalah sebanyak RM14.8 bilion setiap tahun, iaitu hanya 59% dari jumlah subsidi bahan api yang dibelanjakan kerajaan. Sejumlah RM10 bilion subsidi (atau 41% peratus) setiap tahun adalah subsidi gas dan LPG yang ditanggung oleh kerajaan. Ini tidak termasuk anggaran subsidi gas kepada penjana bebas (IPP) sebanyak sekitar RM8 bilion setiap tahun. Ini bermakna, subsidi korporat yang diberikan melalui subsidi gas kepada industri dan penjana bebas (dianggarkan sekitar RM13 bilion setiap tahun) adalah hampir sama dengan subsidi petrol dan diesel yang diberikan kepada rakyat. 

2. Kurangnya Kajian Tentang Kesan Kenaikan Minyak
Dalam kenyataan akhbar hari ini, keputusan Jawatankuasa Fiskal Negara telah mengambil keputusan drastik ini setelah mengkaji dalam berbagai aspek dan sudut ekonomi, tapi bila Kementerian Pertanian melalui Menterinya, mengumumkan mahu mewujudkan jawatankuasa mengkaji kesan keatas Nelayan berikutan kenaikan ini dan laporannya akan siap dalam tempoh sebulan, menggambarkan kepada rakyat bahawa kajian yang dibuat Jawatankuasa Fiskal Negara adalah tidak menyeluruh dan ini adalah sesuatu yang amat malang apabila sesuatu keputusan diumum tidak ada penyelarasan antara kementerian.
3. Memberi Kesan Kepada Golongan 
Pendapatan dan perbelanjaan setiap isirumah adalah berbeza-beza mengikut taraf sosioekonomi keluarga. Mengikut kajian yang dibuat oleh MIER dan berdasarkan Kajiselidik Belanja Isirumah 2009/10, anggaran perbelanjaan untuk petrol dan diesel mengikut kategori pendapatan keluarga adalah seperti berikut: 

  Pendapatan bulanan isirumah (RM) -------- % isirumah membiayai petrol dan diesel             
Bawah 500        --------        35                               
500 – 1,000         --------        27                                  
1,000 – 2,000         --------        25                                     
2,000 – 3,000         --------        22                                    
3,000 – 4,000         --------        20                                    
 4,000 Keatas         --------        10                                   

Ini bermakna, keluarga yang berpendapatan rendah dan sederhana secara puratanya membelanjakan lebih banyak pendapatan mereka setiap bulan untuk membiayai petrol dan diesel (oleh kerana pendapatan mereka lebih rendah dan bahan api adalah keperluan). Oleh itu, kenaikan harga minyak sudah tentu menekan keluarga berpendapatan rendah dan sederhana kerana jumlah tanggungan tambahan setiap bulan adalah besar berbanding pendapatan bulanan mereka.

Kenaikan Harga Minyak: Kesan Domino (Dominoes Effect)

Mungkin ada yang sudah biasa dengan terma 'Kesan Dominos' (Dominoes Effect), atau terma 'Kesan Pengkali' (Multiplier Effect). Apa yang dimaksudkan dengan kesan domino adalah apabila kerajaan mengambil sesuatu keputusan, akan membawa kesan kepada perkara yang lain, dan perkara itu akan membawa kesan kepada perkara yang lain, dan seterusnya. Ia umpama kesan berangkai dan berkait anatara satu sama lain.

OECD (Organisation for Economic Co-operation and Development) mengeluarkan satu kajian dalam kesan peningkatan harga minyak terhadap aktiviti ekonomi dan inflasi. OECD menganggarkan bahawa kenaikan harga bahanapi akan memberi kesan kepada aktiviti ekonomi dan menyebabkan inflasi (berdasarkan model globel OECD); memberi impak kepada aktiviti dalam jangka masa pendek; dengan kadar inflasi dan aktiviti yang rendah nilai matawang negara berpotensi untuk menurun.

Kenaikan Harga Minyak: Jangan Samakan Malaysia dengan Negara Luar
Timbalan Menteri Kewangan menyatakan bahawa harga minyak Malaysia adalah yang kelapan termurah di dunia selepas Venezuela, Arab Saudi, Kuwait, Mesir, UAE, Iran dan Nigeria. Bagi membuktikan harga minyak di Malaysia adalah kelapan termurah di dunia, maka Timbalan Menteri Kewangan mengumumkan harga RON 95 dan diesel di negara jiran kita. Antaranya ialah Thailand RM4.74 dan RM3.06, Singapura (RM5.56 dan RM4.32), Indonesia (RM3.05 dan RM3.43) dan Filipina (RM5.44 dan RM4.32).

Sekarang aku nak persoalkan, apakah releven harga minyak Malaysia dibandingkan dengan negara-negara tersebut? Apakah kita hendak menafikan fakta bahawasanya harga minyak petrol di Brunei, Qatar, Bahrain, Algeria, Sudan, Libya dan Oman adalah lebih murah dari Malaysia? Kenapa Timbalan Menteri Kewangan tidak menyatakan juga harga minyak di negara tersebut? Mengapa memberikan hujah yang salah atau berhujah dengan menyembunyikan fakta yang nyata? Pemberian fakta yang tidak tepat dan kenyataan yang menafikan intelek rakyat perlu dihentikan segera oleh kerajaan.

Dalam ilmu pembandingan, adalah tidak adil dengan hanya membandingkan 'minyak' semata-mata dengan diabaikan perkara-perkara lain. Dan apakah ketujuh-tujuh negara yang diumumkan oleh Timbalan Menteri Kewangan tersebut sesuai untuk dibandingkan dengan Malaysia dengan hanya mengambil kira sebagai negara jiran? Samalah juga dengan membandingkan motosikal kita lebih canggih berbanding motosikal jiran, dengan mengabaikan perkara-perkara lain seperti gaji dan kemampuan jiran, nilai tanggungan dan hutang jiran, serta lain-lain. Kenapa tidak kita bandingkan motosikal kita dengan orang yang lebih setanding dengan kita, biarpun bukan jiran.Jikapun hendak memberikan analisis perbandingan dengan negara lain, berilah analisis perbandingan yang sesuai, bukannya untuk sesuaikan data dengan keperluan dan hujah kita. Analisis akademik menuntut kejujuran kita memberikan data yang tepat. Begitulah!

Berikut adalah perkara-perkara yang perlu dibandingkan secara serentak dengan negara-negara lain supaya perbandingan yang dilakukan adalah lebih adil:

1. Harga Kereta.
Di Indonesia misalnya, jika setakat kereta Toyota Vios, mereka buat teksi sahaja. Jika di Finland dan Sweden, teksi mereka semuanya terdiri dari kereta mewah — lebih dari separuh teksi mereka menggunakan kereta Mercedes dan selebihnya BMW, Audi dan Volkswagen.

2. Kos Harga Rumah
Dengan kos harga rumah kita yang ‘over priced’ dan kenaikannya tidak terkawal, apakah harga rumah di negara kita masih yang termurah di dunia?

3. Hutang Isi Rumah
Data menunjukkan lebih enam juta isi rumah rakyat di negara ini kini menanggung hutang berjumlah RM653 bilion. Secara purata, ini bermakna setiap isi rumah di negara ini tidak kira pangkat, status dan usia mempunyai hutang kira-kira RM108,000 seorang. Kadar hutang ini adalah amat membimbangkan, apatah lagi peningkatan nisbah hutang isi rumah Malaysia kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) meningkat setiap tahun dari 63.9% pada tahun 2008 kepada 76.6% tahun 2009, 75.8% tahun 2010, 76.6% tahun 2011 dan 80.5% pada tahun 2012. Rekod terkini hutang isi rumah Malaysia untuk tahun 2013 berada pada kadar 83.0% dari KDNK yang menyebabkan amaran untuk berwaspada daripada penganalisis kewangan di rantau ini.

Kenyataan oleh Timbalan Menteri Kewangan tidak tepat dan hujah inilah yang sentiasa diberikan secara berulang-ulang setiap kali harga minyak naik. Carilah alasan yang boleh diterima umum seperti demi kesihatan ekonomi negara, bagi mengurangkan defisit fiskal, kita terbeban dengan hutang luar, bagi faedah ekonomi negara jangka masa panjang, bagi mengurangkan jumlah subsidi kerajaan yang semakin meningkat, akibat kenaikan harga minyak di pasaran dunia ataupun sebahagian daripada proses rasionalisasi bagi membantu menstabilkan ekonomi negara.

BR1M Menggantikan 20sen

Aku juga tertarik dengan alasan yang diberikan oleh Timbalan Menteri Kewangan yang menyatakan kenaikan harga minyak adalah untuk membolehkan kerajaan memberikan BR1M kepada rakyat. Katanya: "Bantuan subsidi seharusnya disalurkan kepada yang benar-benar memerlukan dan melalui pemotongan subsidi (kenaikan harga petrol) ini kerajaan kemudian menyalurkan Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) untuk rakyat yang berpendapatan rendah."

Apakah kaitan antara kenaikan harga minyak dengan bantuan BRIM yang diberi oleh kerajaan kepada rakyat? Pemberian BR1M ini untuk apa? Sebagai umpan untuk menggula-gulakan rakyat atau benar-benar untuk menolong rakyat? Jika untuk menolong rakyat miskin, kenapa pula BR1M yang diberikan itu diambil semula dalam bentuk menaikkan harga minyak petrol? Tidakkah kerajaan sedar dengan kenaikan harga petrol ini, BRIM yang diberikan kepada rakyat tidak dapat menampung beban kehidupan mereka kerana kenaikan harga petrol tersebut tentulah datangnya bersama dengan kenaikan kos hidup dan kos barangan keperluan harian? Tidakkah ini tidak boleh difikirkan oleh kerajaan?

Pertamanya, jumlah BR1M (kalau pun dinaikkan nilainya) tidak berpadanan dengan tanggungan belanja setiap isirumah. Selain dari belanja petrol dan diesel yang meningkat sebanyak RM752 setahun (yang nilainya lebih tinggi dari BR1M), setiap isirumah juga terpaksa berhadapan dengan masalah kenaikan harga barang secara keseluruhannya akibat inflasi. Jumlah tanggungan adalah jauh lebih tinggi dari nilai RM500 BR1M yang ditawarkan. Keduanya, hanya sebahagian rakyat Malaysia yang menerima BR1M iaitu sekitar 40% isirumah, sedangkan 40% lagi golongan sederhana yang turut terkesan tidak mendapat sebarang bantuan


ps: sebarang kesalahan fakta sila maklumkan segera untuk dibaiki. Terima kasih.

Rujukan:
Penulisan Mohammad Agus Yusoff (sumber)
Penulisan Syed Azidi Syed Abdul Aziz (sumber)
Penulisan Rafizi Ramli (sumber)
Organisation for Economic Co-operation and Development (sumber)
Beritah Harian (sumber) (sumber)

06 July 2013

Selamatkan Taman Merdeka

Dalam sibuk-sibuk warga Malaysia sekarang ini yang mengutuk keras rampasan kuasa Morsi di Mesir, ramai yang matanya yang masih lagi tertutup dengan isu yang agak suam-suam kuku di Malaysia. Pernah dengar Menara Warisan Merdeka 118 tingkat?


Sebelum aku kecoh-kecoh cerita panjang lebar, dan sebelum korang semua keluarkan pendapat, aku rasa elok kalau aku cerita serba sedikit pasal sejarah di kawasan sekitar Taman Merdeka, Stadium Merdeka, dan Stadium Negara. Semua tahu mengenai Stadium Merdeka. Sesiapa yang tidak tahu sejarah mengenai Stadium Merdeka, bagi aku anda tidak layak digelar sebagai warganegara Malaysia. Disinilah TAR melaungkan 'Merdeka' buat kali keduanya dan mengisytiharkan Tanah Melayu bebas dari Britain (laungan Merdeka yang pertama adalah di Melaka).

Sejarah Taman Merdeka
Taman Merdeka telah dirasmikan oleh Perdana Menteri Tunku Abdul Rahman pada Hari Raya pertama selepas Malaya Merdeka pada hari Ahad, 20 April 1958. Pada hari itu, Tunku telah merasmikan Taman Merdeka (pada masa itu masih dikenali dengan nama Taman Tunku Abdul Rahman) dengan mengadakan jamuan di kawasan taman permainan di Taman Merdeka bersama kanak-kanak miskin ibukota. Pada hari itu juga Tunku secara simbolik telah menanam sepohon pokok di atas taman itu, satu-satunya taman yang terletak di tengah-tengah ibukota untuk rakyat kota.


Pada tahun 1994, kerajaan telah membuat perjanjian dengan syarikat UEM (United Engineers of Malaysia) untuk membina Stadium Bukit Jalil sebagai persiapan Sukan Komanwel 1998, dan sebagai balasan akan menyerahkan kawasan Stadium Merdeka, Stadium Negara serta Taman Merdeka kepada UEM. Kawasan Taman Merdeka kemudiannya dipagar oleh UEM pada tahun 1990-an. Pernah suatu ketika, Stadium Merdeka telah hampir dirobohkan oleh UEM yang telah merancang untuk membuat projek pembangunan kat atas tanah tersebut. Tapi disebabkan kegawatan ekonomi pada masa itu, projek mereka dibatalkan. Pada tahun 2001, UEM telah menjual tanah itu kepada PNB (Permodalan Nasional Berhad). Kini, PNB sedang berusaha untuk mendapatkan kelulusan DBKL untuk tukar status tanah tu dari tanah "kawasan lapang" (Merdeka Park) dan "institusi" (2 stadium) kepada tanah "komersial" supaya mereka boleh bina menara mega 118 tingkat mereka atas tanah tu. Baik, cukup untuk kelas sejarah.

Menara 118

Stadium Merdeka, Stadium Negara dan Taman Negara yang banyak nilai sentimental dan nilai sejarah kepada kita semua, tanpa disedari oleh orang ramai telah diswastakan. Bukankah kawasan-kawasan ini sepatutnya menjadi rizab simpanan kerajaan sebagai salah sebuah kawasan bersejarah di Malaysia? Idea kerajaan pada tahun 1990-an dengan menyerahkan Stadium Merdeka, Stadium Negara dan Taman Negara kepada UEM bukan idea yang bernas, malangnya rakyat pada masa itu tidak membantah keputusan tersebut. Ramai yang tidak sedar apakah kesan daripada penswastaan tanah rakyat. Tidakkah anda sedih sejarah Malaysia telah diswastakan dan dijual beli oleh korporat-korporat dengan sewenang-wenangnya, macam bermain permainan monopoly?

Hasil daripada pemagaran kawasan Taman Merdeka oleh UEM, Taman Merdeka semakin dilupakan hari demi hari. Sehingga lahir generasi yang buta sejarah dan tertanya dimana sebenarnya sebidang tanah yang digelar 'Taman Merdeka'? Sehinggakan wargakota KL sendiri tidak tahu wujudnya Taman Merdeka, kecuali generasi-generasi lama sempat bergambar hitam-putih.

Taman Merdeka diwujudkan oleh Tunku Abdul Rahman sebagai sebuah kawasan awam (public space) untuk kegunaan orang awam. Mungkin ada juga sesetengah pihak yang mempertahankan Menara 118 dengan mengatakan terdapat banyak lagi kawasan awam yang boleh digunakan oleh orang ramai seperti  Taman Tasik Titiwangsa. Tetapi, sekali lagi persoalan yang aku nak tanyakan. Dimana hilangnya nilai sentimental dan nilai sejarah dalam diri korang?

Dalam pelan pembangunan Menara 118, kawasan Stadium Merdeka dan Stadium Negara tidak akan diusik. Tetapi anda semua harus ingat, kedua-dua institusi ini telah diswastakan. Mereka berhak melakukan apa sahaja yang mereka inginkan terhadap kedua-dua kawasan tersebut. Tidak mustahil suatu hari nanti akan terpacak menara di tengah-tengah Stadium Merdeka. Ingat, mereka adalah swasta, dan tuhan mereka adalah wang dan keuntungan.

Banyak lagi tanah di sekitar KL untuk dibangunkan menara-menara tinggi. Kenapa tidak kawasan Taman Merdeka dibangunkan semula sebagai Taman Merdeka yang baru, yang boleh digunakan oleh orang awam? Apakah tindakan korang untuk pertahankan sejarah Malaysia?


Baru-baru ini, sebanyak 25 NGO telah bergabung untuk mewujudkan sebuah pergerakan yang dinamakan PTMN (Pertahankan Taman Merdeka Negara). Haji Ishak Surin (pengerusi) telah menghantar notis bantahan kepada DBKL dan telah mengumpulkan tanda tangan petisyen bantahan. Apa pula tindakan korang?

Jika ada sebarang informasi yang aku kongsikan adalah salah, 
tolong bagitahu aku secepat mungkin untuk dibetulkan.
Gambar-gambar yang aku kongsikan disini adalah dari
 facebook Fahmi Reza.

01 June 2013

Perbezaan Ideologi: Antara Kesatuan dan Perpecahan

Rabu lalu telah dijalankan sebuah Wacana Siswa dengan tajuk yang agak menarik. Aku agak terpanggil untuk menghuraikan dengan lebih lanjut mengenai tajuk ini. Baiklah, disebabkan program ini adalah wacana siswa, barisan panel lebih memfokuskan tajuk ini di dalam konteks kampus dan mahasiswa. Aku akan fokuskan perbincangan, berpandukan beberapa poin-poin yang diutarakan oleh panel, iaitu Saudara Juhar dan juga tetamu khas iaitu Dr. Nordi.


Definisi Ideologi
Nak faham ideologi tidak perlu dengan quote kata-kata dari tokoh terkenal. Untuk faham ideologi itu mudah. Contoh, selepas menonton filem hantu pocong (misalnya), Ali kata hantu pocong tu jelmaan syaitan, Abu kata hantu pocong itu ilusi manusia. Ali dan Abu ada pemahaman berbeza tentang hantu pocong, ini bermakna mereka mempunyai berpezaan ideologi tentang hantu pocong. Bermaksud ideologi itu adalah pemahaman dan kepercayaan yang kita pegang mengenai sesuatu perkara. Ianya boleh jadi mengenai hantu pocong, kenegaraan, kemahasiswaan, perpecahan, politik, ekonomi (senarainya tidak akan terputus selagi ada perkara yang menjadi percanggahan pemahaman).

Saudara Juhar menyatakan bahawa ideologi dan fahaman adalah berbeza. Namun bagi aku, fahaman dan ideologi adalah perkara yang saling berhubung kait. Ideologi tidak akan wujud tanpa fahaman dan kepercayaan tentang sesuatu perkara. Fahaman yang mudah juga boleh tumbuh menjadi ideologi yang merubah corak pemikiran. Contohnya, Ali mempunyai fahaman dan kepercayaan bahawa berkongsi itu mulia dan bagus. Fahaman ini mudah dan ringkas. Fahaman yang mudah ini boleh berkembang luas menjadi ideologi, seperti ideologi komunisme bahawa setiap harta yang dimiliki harus dikongsi sama banyak dengan orang lain.

Ideologi sebagai agen penyatuan Mahasiswa.
Ideologi mampu menjadi agen penyatuan mahasiswa sekiranya terdapat ramai mahasiswa yang memegang ideologi yang sama. Ini bermaksud, untuk semua pelajar dalam sesebuah universiti untuk bersatu, sebuah ideologi yang dapat diterima oleh mahasiswa perlulah wujud supaya setiap mahasiswa dapat memperjuangkan ideologi ini. Contohnya, UMSU (University Malaya Student Union) yang wujud pada sekitar tahun 1960-an telah membawa idea penyatuan keseluruhan penuntut di Universiti Malaya. UMSU telah berjaya dalam banyak bidang terutamanya menjaga kebajikan pelajar secara keseluruhannya, sehingga mampu mewujudkan koperasi pelajar yang tersendiri dan terlibat secara langsung dalam pentadbiran universiti pada ketika itu. Pada ketika itu juga, hubungan baik setiap pelajar dapat dijaga dan diharmonikan sehingga suara mahasiswa didengar dan dihormati terutamanya oleh pihak pengurusan universiti dan masyarakat luar. 

Objektif atau ideologi yang dibawakan oleh UMSU ini adalah:

  1. Untuk mempromosi dan melindungi kepentingan Universiti dan semua ahli Kesatuan.
  2. Untuk mendukung dan menghormati maruah dan kesamarataan setiap ahli Kesatuan tanpa mengira agama, bangsa atau politik.
  3. Untuk menggalakkan dan aktiviti lagi sosial, budaya dan sukan.
  4. Untuk memupuk kehidupan korporat di kalangan ahli-ahli Kesatuan, tanpa mengira agama, bangsa atau politik.
  5. Untuk mewujudkan satu cara komunikasi yang diiktiraf oleh Pihak Berkuasa Universiti, Persatuan Siswazah, medium pembelajaran, dan orang awam.
  6. Untuk menjalankan aktiviti yang dianjurkan pelbagai jenis di peringkat tempatan dan kebangsaan, untuk mengumpul dana untuk projek-projek kebajikan pelajar berdsarkan kelulusan Majlis Pelajar.
  7. Untuk menggalakkan semangat Perpaduan dan Kewarganegaraan.
  8. Ini terbukti bahawa sebuah ideologi mampu menyatukan mahasiswa.


Kini, badan yang sepatutnya bertanggungjawab bertindak seumpama UMSU adalah MPP (Majlis Perwakilan Pelajar). MPP sebagai badan yang dilantik oleh pelajar sendiri seharusnya menjaga dan melindungi hak-hak mahasiswa. Masalahnya yang timbul disini adalah, mengapa masih wujud perpecahan dalam kalangan mahasiswa sekiranya MPP itu sendiri dipilih oleh mahasiswa? Atau adakah kerana MPP tidak mampu melaksanakan tugasan sebagai wakil pelajar? Ini sebenarnya adalah persoalan-persoalan yang wajib dibangkitkan dalam setiap mesyuarat MPP. MPP perlulah dengan konsisten mewujudkan nilai-nilai kesatuan dalam kalangan mahasiswa.

Ideologi memecahkan mahasiswa
Ideologi yang dibawakan oleh UMSU pada tahun 1960-an berjaya menyatukan mahasiswa pada ketika itu. Namun, zaman berubah. Universiti-universiti di Malaysia menerima masuk semakin banyak ideologi-ideologi asing dari luar. Timbunan pelbagai ideologi asing ini menyebabkan berlakunya percanggahan fahaman tentang sesuatu perkara, terutamanya dalam politik kampus. Sehingga kini, wujudnya beberapa blok mahasiswa dalam pentadbiran badan pelajar itu sendiri. Perbezaan blok ini mewujudkan perpecahan mahasiswa ke dalam beberapa kelompok tertentu. Umum kini mengetahui bahawa universiti-universiti tempatan dipecahkan dengan blok Pro-Aspirasi dan Pro-Mahasiswa. Dapat dilihat bahawa ideologi itu sendiri mewujudkan perpecahan dalam kalangan mahasiswa. Perbezaan ideologi, ada baik buruknya. Jangan terlalu beranggapan perbezaan ideologi membawa kehancuran. perbezaan ideologi juga adalah penting sebagai check and balace dalam sesuatu hal.

Pertembungan ideologi dalam politik negara.
Menurut Dr. Nordi dalam wacana siswa, politik bukanlah segala-galanya, tetapi segala-galanya berkait dengan politik. Dalam pentadbiran negara, pertembungan ideologi politik sentiasa kita dengar di media. Namun, politik Malaysia berbeza berbanding politik di AS misalnya. Politik di AS adalah melibatkan pertembungan dua blok ideologi politik yang berbeza, iaitu Republikan dan Demokrat. Demokrat adalah lebih liberal, dan mempercayai bahawa kerajaan perlu menjaga kebajikan setiap warganya. Manakala Republik adalah lebih konservatif, dengan mempercayai bahawa rakyat perlu mengurangkan kebergantungan mereka pada kerajaan. 


Berbeza dengan Malaysia, walaupun terdapat pelbagai parti politik namun ideologi politik yang dipegang masih mempunyai benang merah. Ya, masih terdapat pertembungan ideologi dalam politik Malaysia. Setiap parti politik memperjuangkan ideologi mereka tersendiri. Contohnya, PAS dengan ideologi islamis (perjuangan politik berdasarkan nilai dan kepentingan islam), DAP dengan ideologi liberalis (perjuangan politik berdasarkan nilai-nilai bebas dan telus), dan PSM dengan ideologi sosialis (perjuangan politik berdasarkan kesamarataan hak-hak rakyat), dan UMNO MIC MCA dengan ideologi rasis (perjuangan politik berdasarkan kepentingan kaum). *Bukan untuk mengatakan UMNO sebagai parti perkauman, tetapi dasar perjuangan UMNO itu sendiri adalah berasaskan memperjuangkan hak-hak Melayu, ini menjadikan secara tidak langsung UMNO sebagai parti berdasarkan kaum, sama seperti MIC dan MCA.

Walaupun setiap parti politik memegang ideologi yang sama, namun ideologi utama yang diperjuangkan mereka adalah sama, iaitu menjaga kebajikan rakyat dengan lebih telus, dan menjadikan Malaysia lebih baik. Seperti yang diperkatakan sebelum ini, wujudnnya perlbagai ideologi dalam dunia politik ini ada baiknya. Dengan wujudnya perbezaan ini, akan wujudnya keseimbangan politik. Sebagai contoh, ideologi UMNO MIC dan MCA yang memperjuangkan kepentingan kaum masing-masing akan seimbang apabila ketiga-tiga parti itu bergabung (BN) untuk memperjuangkan hak kaum masing-masing.

Ideologi Rakyat Malaysia
Walaupun terdapat pelbagai ideologi politik tanahair, rakyat Malaysia harus dan wajib memegang kepada satu ideologi teras. Iaitu rukun negara. Rukun negara itu adalah penting dan perlu dipromosikan secara lebih praktikal lagi kepada rakyat Malaysia. Bukan dengan hanya nyanyain lagu rukun negara di radio, atau iklan rukun negara di television. Itu semua hanya akan dijadikan jenaka oleh rakyat. Dekatkanlah rakyat dengan rukun negara secara lebih bijaksana. Jadikanlah Rukun Negara sebagai pegangan wajib kepada rakyat Malaysia.

Review Filem: Now You See Me (2013)


Now You See Me
"Now you don't"

Anda minat filem konflik? Anda minat persembahan magis? Anda minat filem aksi? Now You See Me adalah gabungan ketiga-tiganya. Ini bukanlah filem sihir. Tetapi hanya filem silap mata biasa, dan dipersembahkan dengan gaya yang lebih hebat, dan di adunkan dengan adegan cemburu, balas dendam dan kejar mengejar. Dimulakan sama seperti filem 'Ocean Eleven', dengan kehidupan awal empat orang ahli magis. Kemudiannya dipercepatkan masa setahun selepas keempat-empat mereka bertemu dengan misi merompak wang dari bank perancis, dari akaun pemilik syarikat insuran, hinggalah wang dari peti besi besar, dengan gelaran 'The Four Horseman'

Pengarah mampu membuatkan penonton tergamam dalam beberapa babak, dan lega dalam beberapa babak. Tergamam dengan aksi-aksi magis yang ditunjukkan. Lega dengan segala penjelasan aksi magis. Ianya umpama permainan pengarah untuk buatkan penonton rasa tidak puas selagi filem ini tidak menerangkan segala trick magis, dan seterusnya membuatkan penonton tidak sedar durasi 155 minit berlalu dengan sangat pantas. 

Pengarah melonggarkan watak keempat-empat ahli magis ini, berjaya membuatkan penonton tertanya-tanya. Itu adalah seni yang akhirnya dijawab pada penghujung filem ini. Jika anda juga tertanya-tanya dengan filem ini, apa salahnya anda cuba tonton dahulu.

Wajib Tonton!
Rating: 8.5/10

Review Filem: Fast & Furious 6 (2013)


Fast & Furious 6
“All roads lead to this"

Francais ke 6 bagi siri Fast & Furious, Fast & Furious 6 membawakan pelakon-pelakon utama yang sama seperti Fast & Furios 5. FIlem ini sekali lagi dihidupkan dengan watak Brian (Paul Walker) dan Dom (Vin Diesel), yang sedang menikmati kehidupan yang hidup sebagai bersara jutawan. Ejen kerajaan Hobbs (Dwayne Johnson) sekali lagi mencari mereka, tetapi berbeza kali ini, Hobbs datang dengan membawa misi untuk mereka.

Filem ini terlalu hebat. Itu adalah kelebihan filem ini. Dan itu juga adalah kelemahan filem ini. Babak-babak aksi lasak yang membawa penonton terbuka mulut sememangnya mengkhayalkan. Namun, babak yang terlalu hebat ini membuatkan penonton akhirnya tergelak kerana kebodohan filem ini yang terlampau berkhayal.

Pengarah mempunyai beberapa kekuatan bagi filem ini. Yang pertama, beliau mempu menggabungkan kelima-lima filem sebelum ini untuk disatukan dalam sebuah filem. Ini akan menjadikan peminat siri Fast & Furious sedikit teruja dan meninggalkan perasaan emosi yang mendalam ketika babak kematian beberapa pelakonnya. Ini membuatkan penonton yang tidak pernah melihat siri-siri sebelum ini berasa tertanya-tanya.

Kedua, filem ini terlampau pantas. Babak pertama, dengan muncul flip car yang mampu menterbalikkan apa-apa sahaja kereta. Diikuti dengan babak kereta kebal. Seterunya dengan babak kejar mengejar dengan kapal terbang. Terlalu banyak adegan dan aksi yang sangat menarik sehingga membuatkan penonton ternganga luas. Ini adalah kelainan filem ini yang membuatkan filem ini unik dan berlainan dengan filem-filem lain sebelumnya, yang hanya dipenuhi dengan aksi kejar mengejar dengan kereta.

Dalam Fast & Furious pertama, yang memandu kereta adalah manusia. Yang menjadikan filem itu tergerak adalah skil-skil memandu kereta yang tersendiri.  Tetapi filem ini terus membuang segala logik akal yang ada. Ya, ianya terlalu penuh dengan imaginasi.

Must Watch
Rating: 8/10


27 May 2013

Review Filem: The Great Gatsby (2013)


The Great Gatsby
"In his imagination, he was a son of god"

Antara filem yang aku tertunggu-tunggu tahun 2013 ini. Sebuah filem adaptasi dari novel laris, The Great Gatsby 2013 merupakan filem yang keempat dibikin berdasarkan novel tulisan F. Scott Fitzgerald. Berlatarbelakangkan kehidupan elit hartawan, Jay Gatsby (Leonardo DiCaprio) berusaha untuk mendapatkan cintanya kembali iaitu Daisy yang telah dirampas oleh seorang lagi hartawan, Tom Buchanan (Joel Edgerton). Penceritaan secara naratif oleh Nick Carraway (Tobey Maguire) yang merupakan sepupu kepada Daisy (Carry Mulligen).

Kekuatan filem ini adalah dari konflik plotnya. Kepada pembaca novel The Great Gatsby, filem ini adalah lebih hampir dan persembahannya lebih menarik berbanding tiga filem yang pernah diarahkan sebelum ini. Walaupun durasi filem ini terlalu panjang sehingga membuatkan penonton letih, namun bagi peminat filem berunsurkan konflik sebegini sememangnya sesuatu yang memuaskan. Namun terdapat beberapa kesalahan dalam filem ini yang mewujudkan paradoks masa iaitu dari segi lagu-lagu soundtrack yang digunakan. Persembahan grafik yang sedikit mengecewakan dan sedikit janggal.

Filem yang sangat hebat dan berbaloi untuk ditonton. Fahami dan dalami  setiap watak, dan anda akan rasa seperti anda mahu berjumpa dengan Gatsby.

Bintang: 7.5/10



Aku hanya orang biasa yang minat filem, bukan pakar malahan tiada asas sedikit pun berkaitan ilmu perfileman. 
Jadi apa yang aku tulis hanyalah pandangan peribadi aku sahaja. 
Lagi pun, dalam internet penuh dengan review-review dari pakar -pakar filem, apa salahnya baca review dari orang biasa pula kan?

28 April 2013

Seni Tarian: River Sutra

27 April 2013. Aku dan kawan-kawan terpanggil untuk tonton sebuah persembahan di auditorium JKKN Sabah (Jabatan Kebudayaan dan kesenian Negara) selepas terlihat sebuah poster yang menarik:

Padamulanya, kami tertanya-tanya apakah sebenarnya yang cuba untuk dipersembahkan. Mungkin itu salah satu strategi publisiti yang mereka cuba lakukan untuk membuatkan orang tertanya-tanya dan terpanggil untuk hadir. Dan bagi aku persembahan yang dilakukan adalah tidak mengecewakan. Jadi, aku akan cuba untuk menulis serba sedikit review tentang River Sutra.

Apa itu River Sutra?
River Sutra sebenarnya merupakan tajuk kepada sebuah novel yang ditulis oleh Gita Mehta (1993). Beliau cuba untuk menggabungkan tema kemasyarakatan india dan geografi dengan merujuk kepada sungai dan kawasan sekitar lembah sungai Narmada. Kisah oleh Gita Mehta ini menceritakan mengenai seorang pesara birokrat yang berinteraksi dengan pelbagai lapisan masyarakat India di kawasan sungai Narmada. Mengungkapkan mengenai keinginan, hati manusia serta nafsu.

River Sutra oleh Ramli Ibrahim
"What is 'Malaysian' is an enigma- it's neither 'only this on only that'.."

Ramli Ibrahim mengambil tema dan gaya penceritaan Gita Mehta untuk disesuaikan dengan masyarakat di Malaysia dengan mempersembahkan dengan gaya penceritaan abstrak melalui tarian pelbagai genre. Tema utama yang dipersembahkan adalah gaya hidup masyarakat yang diungkapkan melalui perspektif kesamaan dan perpaduan. Secara kesimpulan, beliau cuba untuk membawa penonton untuk mengenali satu sama lain dalam masyarakat yang berbilang kaum, melalui penceritaan salah satu kaum minoriti di Malaysia, iaitu India. Persembahan River Sutra dibahagikan kepada dua, iaitu separuh masa pertama dan separuh masa kedua.

Bagi separuh masa pertama, penceritaan yang cuba diungkapkan adalah mengenai keharmonian antara manusia dengan alam semulajadi. Seterusnya, tarian mereka menceritakan mengenai kehidupan kekeluargaan. Kasih sayang ibu kepada anak. Peranan bapa sebagai pembimbing. Generasi muda yang merupakan refleksi kepada generasi tua. Kehidupan kemasyarakatan yang bertolak ansur. Segala nilai-nilai ini boleh didapati dari koreografi-koreografi perlambangan yang ditonjolkan oleh penari-penari River Sutra. Bagi  bahagian ini, tarian-tarian dipersembahkan menggunakan 100% muzik india dengan tarian india kontemporari (digabungkan juga dengan tarian tradisional). Penceritaan nilai kemasyarakatan melalui budaya kaum minoriti di Malaysia merupakan idea genius Ramli Ibrahim bagi masyarakat berbilang kaum di Malaysia lebih mengenali satu sama lain.

Bagi bahagian kedua, persembahan-persembahan yang ditarikan lebih dekat dengan penonton dan kurang abstrak serta lebih direct (kecuali tarian pertama). Tarian pertama bagi bahagian kedua adalah penceritaan sejarah Malaysia. Menggunakan muzik latar berbahasa Jawa, Ramli Ibrahim cuba untuk membawa masyarakat memahami susah payah nenek moyang dalam membentuk negara Malaysia, bermula dari wujudnya negeri Melaka, melalui perlbagai peperangan (persembahan menggunakan prop wayang kulit hitam dan putih) sehinggalah struggle pelbagai kaum pasca kemerdekaan. Keharmonian Malaysia akhirnya tercapai pada tarian kedua yang mempersembahkan tarian dari lagu Allahyahham P. Ramlee.

Penceritaan melalui tarian merupakan suatu seni yang menarik, menjadikan penceritaan sesuatu kisah menjadi perlbagai, bergantung kepada pemahaman mereka serta persepsi mereka kepada tarian tersebut. Ramli Ibrahim yang cuba untuk membawa seni kepada masyarakat sebagai medium perpaduan negara patut dipuji dan diberi galakan.
Datuk Ramli Ibrahim



Review Filem: Iron Man 3 (2013)

Iron Man 3
'I hope i can protect the one thing that i can't live without'

Sekali lagi Iron Man muncul menyelamatkan dunia dalam Iran Man 3. Kali ini Tony Stark (Robert Downey Jr.) berhadapan dengan seorang pengganas yang digelar The Mandarin. Amerika Syarikat sekali lagi menjadi ancaman, dan Iron Man terpanggil untuk sebagai penyelamat bercampur dengan dilemmanya untuk mempertahankan orang yang disayangi oleh Tony iaitu Pepper Potts (Gwyneth Paltrow).

Selepas kemunculan Tony Stark sebagai bintang adiwira dalam Iron Man, Iron Man 2, serta Avenger, Iron Man 3 muncul sebagai peleraian kepada lagenda adiwira ini. Kekuatan filem ini dapat dirasa dari pelbagai sudut, iaitu persembahan grafik, mesej yang cuba disampaikan, serta kekuatan watak yang dimainkan oleh barisan pelakon yang hebat. Pemilihan Robert Downey sebagai Iron Man sejak dari awal lagi merupakan pelaburan terbaik bagi Marvel.

Namun, menonton Iron Man 3 umpama berada dalam Deja Vu. Plotnya mudah. Hero yang hebat dan diiktiraf sebagai ikon dunia, akhirnya jatuh di tangan penjahat, sehinggalah berlaku sesuatu yang memotivasikan beliau, dan akhirnya beliau berjaya mengalahkan penjahat. Umpama menonton Spiderman 3. Persembahan yang boleh dilakukan dalam rancangan kartun selama setengah jam. Tidak dramatik sebagai sebuah filem penutup kepada francais Iron Man. Tetapi pengarah (Shane Black) berjaya menutup serba sedikit kelemahan plot dengan mempersembahkan filem ini dengan gaya penceritaan watak primer, Tony Stark serta peleraian yang menarik serta memeranjatkan kesemua penonton. Bagi peminat tegar francais Iron Man, tentunya anda berasa sebak (macam yang aku rasa) pada babak terakhir filem ini.

Penyelitan pelbagai mesej juga berjaya menjadikan filem ini sebagai 'berisi', dengan memperkenalkan watak kanak-kanak, filem ini juga boleh dikelaskan sebagai filem untuk seisi keluarga. Persembahan koreografi yang menarik juga membuatkan penonton meniru aksi-aksi yang ditunjukkan selepas keluar dari panggung. Suntikan jenaka yang kadang-kala terlebih dos menjadikan filem ini lebih ringan dan mudah untuk diterima berbanding filem Iron Man 2. Persembahan grafik yang sangat baik dan patut diberikan tepukan yang amat gemuruh. Rekabentuk kostum Iron Man (dan Iron Patriot) yang pelbagai variasi juga adalah kreatif dan tidak hanya terikat dengan satu rekabentuk sahaja.

Secara keseluruhan, wajib tonton bagi peminat filem adiwira. Bagi yang belum menonton, jangan hampa dengan plot yang disampaikan, cuba untuk  hayati setiap babak.
8 out of 10 stars.


Aku hanya orang biasa yang minat filem, bukan pakar malahan tiada asas sedikit pun berkaitan ilmu perfileman. 
Jadi apa yang aku tulis hanyalah pandangan peribadi aku sahaja. 
Lagi pun, dalam internet penuh dengan review-review dari pakar -pakar filem, apa salahnya baca review dari orang biasa pula kan?



24 April 2013

Review Filem: Bunohan (2012)



Bunohan 
"Yah tak malu dengan kasih sayang kita, walau sampai jadi haiwan merangkak atas bumi"

Berlatarbelakangkan kawasan di sempadan di selatan Thai dan Malaysia; Bunohan mengisahkan kisah tragik antara tiga adik-beradik Ilham (Faizal Hussein), Bakar (Pekin Ibrahim) dan Adil @ Bunga Lalang (Zahiril Adzim) di samping bapanya yang uzur, Pok Eng (Wan Hanafi Su). Adil pelarian peninju Tomoi yang menjadi buruan penganjur tinju haram kerana Adil lari dari pertandingan oleh sebab hampir tewas. Ilham seorang pembunuh upahan diupah oleh bos penganjur tinju haram Siam. Bakar asalnya seorang guru, yang berniat untuk memilik tanah ayahnya seluas 30 ekar di tepi pantai. Kepulangan tiga orang adik-beradik itu akhirnya menimbulkan segala macam memori sedih sewaktu tinggal di Bunohan. 
Baca sinopsis penuh di laman web Bunohan.

Sebuah persembahan filem abstrak yang menaikkan elemen-elemen kehidupan, kekeluargaan dan tamak haloba dalam set kehidupan melayu kelantan. Filem ini mampu membuatkan penonton terbuai dengan persoalan-persoalan yang pelbagai sambil menonton. Bagi penonton yang mendahagakan aksi-aksi lasak, tumbuk-menumbuk atau tembak menembak, filem ini adalah tidak sesuai untuk anda. Namun, gaya lasak yang minima (walaupun terdapat aksi bunuh membunuh) telah menyelamatkan filem ini dari lebih memberatkan penonton. Plot dan konflik yang diselang-selikan dengan pelbagai perlambangan telah menyesakkan dada penonton. 

Pengarah (Dain Said) berjaya menonjolkan kreativiti beliau dengan membiarkan penonton sendiri berinteraksi dengan fikiran mereka untuk memahami sendiri pelbagai perlambangan-perlambangan berat yang disampaikan. Terdapat sedikit elemen-elemen mistik diselitkan secara ringan, sesuai dengan kehidupan melayu sendiri yang dikelilingi oleh pelbagai elemen mistik. Unsur-unsur kemelayuan juga ditonjolkan dengan senjata yang digunakan oleh Ilham untuk membunuh, iaitu menggunakan taji. Satu perkara yang aku sangat kagum adalah pengarah fotografi, Charin Pengpanich yang bagi aku berjaya meninggalkan kesan kepada filem melayu. Pada bahagian skrip pula tidak begitu mantap, terdapat beberapa perkataan yang tidak sesuai, kaku dan janggal didengar, walaupun hampir 100% diolog yang diucapkan adalah behasa melayu berdialek kelantan yang agak mustahil untuk faham keseluruhan skrip tanpa subtitle bagi mereka yang bukan berasal dari komuniti kelantan. Lakonan barisan pelakon yang hebat juga lebih menghidupkan dan membuatkan penonton berasa lebih selesa (tidak rasa dibuat-buat) untuk bersantai mendengar penuturan dialek mereka. 

7 star out of 10


Beberapa fakta dari PerangFilem:
  • Bunohan dihasilkan oleh syarikat perfileman Apparat yang dimiliki oleh Dain Said sendiri dan diwakili di peringkat antarabangsa oleh Easternlight Films.
  • Bunohan diambil dari nama sebuah kampung di sempadan Thailand dekat Kelantan (Tumpat), sempadan wilayah Narathiwat Thailand. Dikenali dgn nama “tanah jahat”. Berlaku banyak pertelingkahan rakyat Thailand yang menyebabkan pembunuhan. 
  • Ada berpendapat dulunya di zaman Jepun berlaku banyak pembunuh, jadi nama singkatan Bunohan. > Terdapat pepatah mengenai kampung Bunohan “menghina seseorang dari kampung Bunohan adalah sama seperti menghina penduduk sekampung”. 
  • Kampung tersebut juga merupakan tempat asal ritual pemulihan tradisional yang dikenali sebagai “Main Puteri”, sebuah upacara yang dilangsungkan untuk mengusir roh-roh yang dipercayai sebagai punca penyakit psikologi.

Aku hanya orang biasa yang minat filem, bukan pakar malahan tiada asas sedikit pun berkaitan ilmu perfileman. 
Jadi apa yang aku tulis hanyalah pandangan peribadi aku sahaja. 
Lagi pun, dalam internet penuh dengan review-review dari pakar -pakar filem, apa salahnya baca review dari orang biasa pula kan?