29 December 2013

Dilemma Mahasiswa

Baru-baru ini, kecoh di media mengenai gerakan TURUN yang di ketuai oleh mahasiswa, Nor Azan Safar. Kemudian keluarlah beberapa mahasiswa yang mempertahankan TURUN, seperti Nor Azhar Baharum Exco Perhubungan Awam, majlis Perwakilan Pelajar UIAM. Kemudian, Persatuan Pelajar UM pula mengeluarkan resolusi kepada kerajaan berkenaan penurunan kadar GST kepada 5% daripada 6% selepas persidangan meja bulat bersama Pengarah Cukai Dalaman Pengarah Kastam Diraja, Bahagian Analisa Cukai Kementerian Malaysia dan Persatuan Belia Malaysia. Bukan itu sahaja usaha-usaha Mahasiswa yang cuba untuk melindungi hak rakyat, banyak lagi usaha-usaha yang lebih kepada bersifat dalaman. Saya bukan hendak menulis berkenaan TURUN, atau GST, atau mengenai kehebatan kepimpinan Datuk Seri Najib. Apa yang saya ingin kisahkan adalah berkenaan kuasa mahasiswa dalam memperjuangkan hak rakyat.

Dalam kabut semakin ramai Mahasiswa yang tampil kehadapan bersuara demi rakyat, masih lagi ramai yang kebelakang, kecut, sambil membaca berita portal. Sekurang-kurangnya ada juga yang membaca berita dan mengambil tahu kisah-kisah semasa, bagaimana pula dengan yang hanya tahu memegang buku kuliah sahaja? Bukanlah saya ingin mengutuk mereka yang hanya fikir untuk mengejar 'Kelas Pertama', tetapi haruslah diingat bahawa darjah kelas pertama tidak menjanjikan pemikiran kelas pertama. Sesungguhnya seorang Mahasiswa yang perihatin akan berada dalam dilemma antara tanggungjawab sosial atau tanggungjawab peribadi.

Mari kita renung sebentar Falsafah Pendidikan Negara. Bacalah, fikirlah dan hayati:
"Pendidikan di Malaysia adalah satu usaha berterusan ke arah memperkembangankan lagi potensi individu secara menyeluruh dan bersepadu untuk mewujudkan insan yang seimbang dan harmonis dari segi intelek, rohani, emosi, dan jasmani berdasarkan kepada kepercayaan dan kepatuhan kepada Tuhan. Usaha ini adalah bagi melahirkan rakyat Malaysia yang berilmu, bertanggungjawab dan berkeupayaan mencapai kesejahteraan diri serta memberi sumbangan terhadap keharmonian dan kemakmuran masyarakat dan negara."

Pendidikan bukan sahaja berkenaan memenuhi kehendak intelek peribadi semata-mata. Jika itu sahaja yang dikejar oleh mahasiswa, maka gagallah dia dalam mengejar ilmu. Mahasiswa seharusnya diingat bahawa mereka dipandang tinggi disisi masyarakat. Kerana mahasiswa merupakan generasi seterusnya yang akan membangunkan Malaysia, menjadi tali penghubung kepada kelangsungan Malaysia kini dan masa akan datang. Jadi, jika isu-isu semasa negara tidak diendahkan, adakah masyarakat berani untuk meletakkan tanggungjawab membangunkan negara ke atas bahu Mahasiswa?

Siapakah lagi yang berani memperjuangkan masalah Masyarakat? Adakah 100% kita perlu harapkan kepada ahli politik semata-mata? Janganlah mudah percaya dengan semua laporan menyedapkan hati dan memaniskan mulut, Malaysia semakin maju? Pendidikan negara semakin berkembang? Semakin ramai pelabur masuk ke Malaysia? Taraf pendapatan negara semakin meningkat? Jangan jadi bodoh. Jangan jadi sombong! Bangunlah, berjalanlah di lorong-lorong, di kampung-kampung, di sekolah-sekolah, bukalah mata, masih ramai lagi rakyat kita yang mundur, masih ramai lagi rakyat kita yang makan sambil air mata berlinangan, masih ramai lagi yang tidak bersekolah. Siapakah lagi yang rapat dengan masyarakat kalau bukan Mahasiswa? Siapakah lagi yang kenal masyarakat kalau bukan Mahasiswa?

Mahasiswa, tidak perlu tanya siapa yang berjuang demi rakyat,
tanyalah diri sendiri, apakah sumbangan anda untuk rakyat.